Thursday, August 30, 2007


MPP tak setuju kuasa autonomi

Oleh Irwan Shafrizan Ismail

KUALA LUMPUR: Beberapa Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) mahu keputusan pemilihan naib canselor dan ahli lembaga pengarah dibuat Kementerian Pengajian Tinggi bagi mengelakkan isu berbangkit sekiranya kuasa autonomi diberikan sepenuhnya kepada IPTA.

Presiden MPP Universiti Malaya (UM), Afandy Sutrisno Tanjung, berkata sebarang keputusan dilakukan kementerian akan dianggap muktamad dan tidak akan dipersoalkan, sebaliknya jika keputusan dibuat IPTA bimbang menimbulkan ketidakpuasan hati sesetengah pihak.


“Seeloknya penilaian pemilihan dibuat universiti dan kemudian nama calon dihantar kepada kementerian untuk dipertimbang dan sebarang keputusan dibuat mereka pasti tidak akan dipertikaikan.

“Pemberian kuasa autonomi ini bagus untuk universiti membuat keputusan sendiri dan MPP menyokong penuh usaha kerajaan, namun untuk pelantikan naib canselor ini perlu pembabitan kementerian,” katanya ketika dihubungi Berita Harian, di sini semalam.

Akhbar semalam melaporkan IPTA bebas memilih naib canselor dan ahli lembaga pengarah menerusi pemberian kuasa autonomi, yang akan dilaksanakan secara berperingkat dalam proses transformasi dan pembaharuan pengajian tinggi negara.

Selain itu, IPTA boleh membuat keputusan sendiri untuk menambah profesional asing, meningkatkan dana universiti menerusi penyediaan tabung khas dan pemilihan pelajar antarabangsa.

Menjelaskan pemberian kuasa autonomi itu, Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Mustapa Mohamed, berkata buat permulaan kuasa autonomi itu akan dinikmati satu atau dua universiti apex, iaitu kelompok universiti elit, yang akan dipilih selewat-lewatnya sebelum September tahun depan.

Presiden MPP Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Mazwan Murad, berkata pemberian kuasa autonomi termasuk kebebasan memilih naib canselor ada baik dan buruknya.

“Kuasa autonomi pasti dapat meningkatkan martabat universiti ke tahap kelas dunia, selain menzahirkan misi dan visi universiti.

“Cuma yang dikhuatiri kuasa autonomi ini digunakan sesetengah pihak untuk kepentingan diri sehingga membelakangkan hak pelajar dan matlamat universiti semata-mata ingin merebut jawatan,” katanya.

Beliau berkata, satu badan induk perlu ditubuhkan pada setiap universiti bagi mengkaji dan mengawal pelaksanaan kuasa autonomi supaya individu yang dilantik ke jawatan tertentu mempunyai kredibiliti.

Presiden MPP Universiti Malaysia Sarawak (Unimas), Azli Ramli, berkata satu unit kawal selia diperlukan supaya sebarang keputusan yang dibuat dapat dinilai secara menyeluruh tanpa sebarang kesilapan.

“Jangan apabila keputusan dibuat, apa perkara yang terlepas pandang sehingga menimbulkan ketidakpuasan hati pelajar dan pensyarah,” katanya.

Presiden MPP Universiti Perguruan Sultan Idris (UPSI), Mohd Izwan Shahril, berkata hanya kementerian mempunyai dasar dan perlu memainkan peranan dalam soal tertentu.

“Saya kurang bersetuju untuk beberapa perkara dalam pemberian kuasa autonomi kerana mahu kerjasama seimbang antara IPTA dan kementerian. Bagi suara pelajar, kami mahu pemilihan diputuskan pihak atasan (kementerian) bagi mengelak menimbulkan isu,” katanya.

Sementara itu, Naib Canselor Universiti Teknologi Mara (UiTM), Datuk Seri Prof Dr Ibrahim Abu Shah, berkata kuasa autonomi di universiti sepatutnya diberi lebih awal bagi mengurangkan kerenah birokrasi dan kongkongan.

http://www.bharian.com.my/m/BHarian/Thursday/Nasional/20070

Wednesday, August 29, 2007


Aspirasi: Bahtera merdeka satu pelayaran

DUA hari lagi, negara akan menyambut perayaan ulang tahun ke-50 kemerdekaan yang menandakan sudah setengah abad Malaysia ditadbir rakyat sendiri. Rata-rata di setiap ceruk rantau negara ini boleh dikatakan rakyat sudah bersiap sedia dengan sambutan masing-masing, sama ada pada peringkat nasional, negeri, daerah mahupun kampung.

Sayangnya, bagi generasi baru hari ini, agak sukar menggambarkan gembiranya rakyat negara pada saat-saat menunggu ketibaan 31 Ogos 1957. Kegembiraan rakyat sebenarnya bermula apabila wujud kerjasama menerusi Perikatan antara Umno, MCA dan MIC bagi merundingkan kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu dan membolehkan beberapa rombongan dihantar ke London untuk berunding.

Pada Januari 1956, satu rombongan diketuai Allahyarham Tunku Abdul Rahman dan empat wakil Raja Melayu serta empat wakil Perikatan pergi ke London untuk berunding dengan British. Pada 8 Februari 1956, kerajaan Inggeris bersetuju memberi kemerdekaan kepada Persekutuan Tanah Melayu menerusi Perjanjian London.

Mengikut perjanjian, kerajaan Persekutuan terpaksa menerima beberapa syarat ditetapkan British. Bagi mana-mana negara merdeka, perkara yang menjadi keutamaan ialah soal undang-undang negara. Bagi menggubal Perlembagaan Persekutuan sebagai sebuah negara demokrasi berparlimen, Suruhanjaya Reid ditubuhkan dipengerusikan Lord Reid dan dianggotai Sir Ivor Jennings (United Kingdom), Sir William Mc Kell (Australia), B Malik (India) dan Hakim Abdul Hamid (Pakistan).

Isu penting dibincangkan sebagai sebahagian daripada Perlembagaan Negara ialah mengenai kedudukan istimewa Raja-Raja Melayu dan orang Melayu. Orang Melayu menerusi Umno pula menerima taraf kerakyatan kepada orang asing menerusi prinsip Jus Soli (pemberian taraf kerakyatan secara automatik mengikut tempat lahir). Masyarakat Cina menerusi MCA dan India menerusi MIC, menerima status hak keistimewaan orang Melayu dan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.

Sejarah sudah pun berlalu. Kesannya, negara sudah merdeka dan ditadbir sendiri rakyat tempatan. Allahyarham Tunku Abdul Rahman memikul tanggungjawab ini untuk menentukan arah haluan negara sebagai Perdana Menteri pertama. Sudah tentulah cabaran yang terpaksa dihadapinya amat besar. Beliau terpaksa berdepan dengan golongan pro-British, terutama mereka yang mendapat faedah daripada pemerintahan kerajaan British. Ini tugas amat berat kerana hingga hari ini pun pemikiran penjajah masih wujud.

Selain itu, beliau perlu mengubah pemikiran rakyat supaya memahami erti kemerdekaan seterusnya memajukan diri sebagai bangsa merdeka. Dari segi politik pula, beliau berdepan dengan pertentangan terhadap sistem dan dasar serta peraturan termaktub dalam Perlembagaan negara.

Contohnya, Kesatuan Perdagangan Cina Persekutuan Tanah Melayu menentang ‘Hak Istimewa Orang Melayu’. Segala-galanya terpaksa dihadapi dengan berhati-hati kerana bagi sebuah negara merdeka yang masih muda ketika itu, segala-galanya dianggap sebagai ujian. Tambahan pula, apa juga tindakan dan keputusan kerajaan, diperhatikan kuasa asing, terutama negara bekas penjajah.

Sebagai Perdana Menteri, Allahyarham Tunku Abdul Rahman juga adalah Presiden Umno, tradisi yang diteruskan hingga kini. Sebagai Perdana Menteri, beliau terpaksa bersikap adil kepada rakyat, yang membolehkan beliau menubuhkan parti Perikatan. manakala sebagai pemimpin parti Melayu, beliau perlu berjuang untuk memastikan apa juga keistimewaan dan hak orang Melayu terpelihara.

Sikap dan dasar beliau dalam soal merapatkan jurang perkauman diteruskan sekarang. Dalam tempoh 13 tahun sebagai Perdana Menteri (1957-1970), amat sukar bagi Allahyarham Tunku Abdul Rahman untuk memenuhi segala tuntutan rakyat yang datangnya dari pelbagai sudut. Pada peringkat awal kemerdekaan, negara menghadapi ancaman komunis. Hingga ke satu peringkat, Allahyarham Tunku Abdul Rahman sendiri berunding dengan pemimpin Parti Komunis Malaya (PKM), Chin Peng.

Dengan bantuan Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein sebagai timbalannya, banyak perkara dapat dilaksana. Dari segi pendidikan, Allahyarham Tunku Abdul Rahman dan Allahyarham Tun Abdul Razak tidak pernah bertolak ansur dalam memberi didikan kepada anak bangsa. Malah, ia menjadi tugas keutamaan. Banyak sekolah dibuka bagi memastikan kemerdekaan turut memberi peluang mendidik anak bangsa dan membolehkan mereka menuntut ke peringkat paling tinggi, sama ada di Universiti Malaya atau di luar negara dalam bidang yang boleh menyumbang kepada erti kemerdekaan kepada negara.

Berikutan Peristiwa 13 Mei 1969, Allahyarham Tunku Abdul Rahman meletakkan jawatan dan Allahyarham Tun Abdul Razak mengambil alih pentadbiran kerajaan. Sebelum itu, Allahyarham Tun Abdul Razak adalah Pengarah Majlis Gerakan Negara (Mageran) yang ditubuhkan ketika darurat berikutan peristiwa berdarah itu.

Ketika pentadbiran Allahyarham Tun Abdul Razak, semangat Perikatan diperluas kepada parti lain di Semenanjung, Sabah dan Sarawak menerusi Barisan Nasional (BN). Pas juga pernah menganggotai BN. Bagi meneruskan tugasnya sejak menjadi Timbalan Perdana Menteri, Allahyarham Tun Abdul Razak mula memikirkan soal kemakmuran dan ekonomi. Walaupun ketika mengambil alih pentadbiran negara, masih terlalu banyak tugas terpaksa dilakukan serentak, beliau menyelesaikannya satu demi satu dengan teratur.

Beliau adalah orang yang bertanggungjawab membuka tanah rancangan untuk pertanian. Felda adalah ilham Allahyarham Tun Abdul Razak yang diikuti dengan Felcra, Risda dan pelbagai tanah rancangan lain. Satu dasarnya yang kontroversial, tetapi diterima sebagai satu dasar komprehensif ialah Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang terus diperkatakan sehingga hari ini.

Pada masa pentadbirannya jugalah Petronas yang menjadi sebuah syarikat terkemuka di dunia. Ketika pentadbiran beliau jugalah, hubungan diplomatik dengan China diwujudkan, di samping negara lain yang menjadi sahabat kepada Malaysia hingga ke hari ini, terutama di rantau Asia. Allahyarham Tun Razak mungkin mempunyai pandangan berbeza ketika itu kerana beliau sedar pentingnya hubungan negara dengan China dalam konteks perniagaan dan politik negara.

Tanggapan Allahyarham Tun Abdul Razak amat tepat sekali kerana China kini muncul sebagai sebuah kuasa dunia dan digeruni oleh kuasa dunia yang lain. Allahyarham Tun Abdul Razak meninggal dunia di London pada 14 Januari 1976 akibat leukemia. Beliau diganti Allahyarham Tun Hussein Onn. Ketika menjadi timbalan kepada Allahyarham Tun Abdul Razak, beliau banyak membantu mentadbirkan negara. Apabila mengambil alih pentadbiran, beliau memberi tumpuan kepada soal perpaduan yang ketika itu masih rapuh. Allahyarham Tun Hussein boleh melakukannya kerana pembangunan diperlukan rakyat pada ketika itu sudah disusun dengan baik dan berjalan dengan lancar.

Dengan beranggapan bahawa pembangunan akan membawa kepada kehancuran jika tidak wujud perpaduan kaum, Allahyarham Tun Hussein mengambil masa agak lama untuk memberi tumpuan tugasnya kepada perpaduan rakyat agar terus wujud di negara ini. Apabila Allahyarham Tun Hussein meletakkan jawatan atas sebab kesihatan, tampuk pentadbiran negara diambil alih Tun Dr Mahathir Mohamad pada 1981.

Apabila menjawat jawatan nombor satu pentadbiran negara itu, Dr Mahathir melakukan beberapa perubahan radikal. Bertepatan dengan era perindustrian ketika itu, Dr Mahathir bergerak mengikut zaman dan menggalakkan negara membabitkan diri dalam projek perindustrian hinggalah kepada pembinaan kilang kereta nasional, di samping membawa masuk pelabur dari serata dunia untuk menanam modal di negara ini. Dengan suasana ekonomi menggalakkan, beliau berjaya membangunkan negara dengan menyediakan pelbagai kemudahan dan kelengkapan untuk memudahkan negara bergerak lebih pantas termasuklah kemudahan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) di Cyberjaya.

Selepas Dr Mahathir meletakkan jawatan, tempat beliau diambil alih Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang dianggap tokoh yang mampu mengimbangi antara kemajuan fizikal dan rohani masyarakat. Dengan semangat untuk meneruskan pembangunan negara menerusi pelbagai projek ekonomi pembangunan wilayah, Abdullah memberi penekanan kepada soal pembangunan modal insan.

Beliau mempunyai pandangan jauh mengenai kepentingan modal insan kerana tanpanya, jentera negara akan pincang apabila rakyat tidak mempunyai keperibadian tinggi.

Segala-gala yang dilakukan empat perdana menteri terdahulu dan Abdullah hari ini adalah saling lengkap-melengkapi ke arah usaha mengisi kemerdekaan negara.

-Datuk Dr Mohd Radzi Abdul Latif adalah Presiden Yayasan Kajian

dan Strategi Melayu (YKSM)

Thursday, August 23, 2007

Rakaman RTM ‘Talk Show’ bersama remaja di Bumbu Bali pada 23/08/2007

Pengacara:Terence Joseph Dass
3 panel yang terlibat:
Pauline Lim(Pegawai Eksekutif)Lee Chong Wei(Atlet Badminton Negara)Mazuwan Murad(Ketua Perwakilan Pelajar UKM)



Lepas "touch up"


Penerangan dari Penerbit


Berborak


Setting Recoding


In your opinion, What is the meaning of independent??


Tamat sudah