Bahasa Melayu mampu kuasai ilmu
POLEMIK mengenai bahasa seolah-olah tiada kesudahan. Pada pendapat saya, ia terjadi kerana kita tidak memahami hakikat perjuangan bahasa itu sendiri yang meletakkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, bahasa perpaduan dan bahasa ilmu.
Perjuangan mendaulatkan bahasa tidak sesekali bertentangan dengan hasrat penguasaan bahasa Inggeris di kalangan rakyat masa kini. Kepentingan bahasa Inggeris diakui tetapi pada masa yang sama kepentingan bahasa kebangsaan jangan dinafikan.
Tujuan mendaulatkan bahasa kebangsaan ialah membentuk rupa bentuk bangsa Malaysia pada masa depan yang kukuh jiwa glokalnya. Tujuan kita menguasai bahasa Inggeris ialah untuk memperolehi ilmu yang tidak diajar dalam bahasa Melayu.
Jadi bahasa kebangsaan haruslah diperkembangkan dan dimajukan, manakala bahasa Inggeris hanya setakat untuk kegunaan menguasai ilmu pengetahuan. Masalahnya kita mengagungkan bahasa Inggeris sehingga meremehkan bahasa kebangsaan.
Pejuang bahasa tidak menyangkal peranan dan usaha untuk meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris di kalangan rakyat tetapi pada masa sama peranan dalam pembinaan bahasa kebangsaan dalam jiwa warganegara tidak harus diketepikan.
Kapasiti bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu menuju ke arah kejayaan apabila Dewan Bahasa dan Pustaka bertungkus-lumus menterjemahkan beratus-ratus ribu istilah dalam pelbagai bidang ilmu.
Malah banyak buku diterjemahkan dan jelaslah keupayaan bahasa Melayu sebagai penanggung bahasa ilmu begitu cemerlang.
Memang benar Barat suatu masa dulu telah belajar bahasa Arab untuk menguasai pelbagai ilmu dalam bahasa Arab tetapi mereka pada akhirnya menterjemahkan karya ilmiah cendekiawan Arab ke bahasa Inggeris.
Semua pihak harus faham hakikat ini. Jika sudah memahaminya saya yakin polemik bahasa akan reda dan kita dapat menumpukan usaha membina bangsa Malaysia berjiwa glokal.
MUHAMMAD ALI ATAN,
Akademi Pengajian Melayu,
Universiti Malaya.