Thursday, August 17, 2006

Manuskrip Melayu lama 'simpan' khazanah ilmu

Berita Harian, 25 Julai 2006
Oleh: Shaidah Shafie


Karya awal berunsur nasihat, panduan kehidupan, undang-undang pentadbiran masih boleh dimanfaatkan hingga kini.

SEMINAR Antarabangsa Manuskrip Melayu di Auditorium, Perpustakaan Negara Malaysia, Kuala Lumpur, baru-baru ini, mendedahkan naskhah Melayu lama mengandungi khazanah ilmu bangsa Melayu yang boleh dimanfaatkan sehingga kini.

Perakuan itu diberikan kalangan sarjana tempatan dan antarabangsa yang menjayakan seminar bertema Melestarikan Manuskrip Melayu Warisan Bangsa Agung dan diadakan bersempena Festival Kuala Lumpur 2006.

Mantan Naib Canselor Universiti Malaya (UM), Prof Emeritus Datuk Dr Mohd Taib Osman, berkata manuskrip Melayu dalam bidang ketatanegaraan adalah cerminan masa lampau dan boleh dijadikan panduan kehidupan masyarakat hari ini.

“Banyak manuskrip Melayu lama seperti Bustanus Salatin, Tajus Salatin dan Adab Raja-Raja yang mementingkan moral individu sebagai manusia dan tersebar luas di istana serta diguna pakai sebagai panduan pemerintahan politik Melayu,” katanya.

Prof Emeritus Mohd Taib mengakui meskipun naskhah ketatanegaraan berfungsi dalam iklim sosio-politik zamannya tetapi banyak isinya boleh dijadikan panduan kehidupan masyarakat kini.

“Hikayat Pelanduk Jenaka meskipun mengenai cerita binatang, sebenarnya terserlah kiasan tajam terhadap kepimpinan zaman itu dan mungkin juga kepimpinan zaman sekarang,” katanya.

Pandangan beliau disokong Pensyarah Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan (PPIK), Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Madya Dr Jelani Harun melalui perincian naskhah Nasihat al-Muluk karya Al-Khasifi dan terjemahan Nasihat al-Muluk (Al-Ghazali).

“Banyak manuskrip Melayu lama yang bertumpu kepada tertib pemerintahan dan undang-undang pentadbiran serta sistem pengurusan yang masih boleh dimanfaatkan hingga kini,” katanya.

Ketika menjawab pertanyaan Felo Penyelidik Kanan, Institut Tamadun dan Alam Melayu (Atma), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Dr Ding Choo Ming, mengenai isu sumbang mahram, Dr Jelani mengesahkan ada hukuman terhadap kesalahan terbabit.

“Meskipun dalam manuskrip Melayu lama tidak disebut secara jelas mengenai perkara itu tetapi ada undang-undang yang menyatakan pesalah akan dicincang lumat dan darahnya yang menitik di bumi akan diambil serta dibuang ke tempat lain,” katanya yang meneliti Pemikiran Adab Ketatanegaraan Kesultanan Melayu.

Dr Jelani yakin segala kisah dalam manuskrip lama meskipun dikategorikan klasik tetapi masih bersesuaian kerana catatan ilmuwan silam termaktub falsafah dan prinsip keadilan berteraskan Islam yang mampu memberi iktibar kepada kepemimpinan negara.

Ahli Filologi dan Pensyarah Fakulti Ilmu Budaya, Universitas Gadjah Mada, Indonesia, Prof Dr Siti Chamamah Soeratno, pula melihat penelitian naskhah silam sebagai usaha ke arah mentafsir sejarah demi mensejahterakan masyarakat.

“Justeru, beberapa hal yang perlu diberi perhatian dalam usaha mengkaji manuskrip ini wajar diambil berat oleh pihak berkaitan agar generasi akan datang mendapat manfaat dan berupaya berdepan dengan cabaran bersifat global,” katanya.

Mantan Pensyarah Kesusasteraan Melayu, Universiti Nasional Singapura, Dr Liaw Yock Fang, mengharukan peserta apabila menyatakan manuskrip Melayu lama terutamanya naskhah undang-undang adalah panduan penting dalam sistem pentadbiran silam.

Manuskrip mengenai undang-undang dikatakan menjadi titik mula penggubalan peraturan dan panduan masyarakat Melayu silam yang beretika hingga Undang-undang Melaka muncul sebagai teks penting.

Peserta seminar turut diberitahu, Undang-undang Melaka pernah mempengaruhi penulisan hampir semua naskhah undang-undang Melayu selepasnya selain menjadi bahan kajian untuk bukti kemasukan Islam dan undang-undangnya ke Tanah Melayu.

“Hanya selepas Undang-undang Melaka, lahir Undang-undang Kedah, Undang-undang Petani, Undang-undang 99 Perak manakala Hukum Kanun Brunei pula adalah versi lain kepada Undang-undang Melaka,” katanya.

Pensyarah Universiti Thaksin, Thailand, Prof Madya Dr Rattiya Saleh, mengejutkan peserta seminar dengan kenyataan pihak bertanggungjawab terhadap pemuliharaan manuskrip lama di Thailand mengenakan peraturan ketat kepada penyelidik.

“Saya terpaksa melalui tiga peringkat pemeriksaan sebelum dibenarkan mengkaji Hikayat Carang Kulina (HCK) atau disebut mss54 di Thailand kerana naskhah terbabit dimasukkan dalam kategori perbendaharaan tetap Perpustakaan Nasional, Bangkok,” katanya.

Pengarah Institut Pengajian Carribean dan Asia Tenggara Diraja Belanda, Dr Roger Tol, yakin manuskrip Melayu lama dikarang bukan untuk tujuan hiburan tetapi menitipkan nilai pemikiran tinggi untuk mengajak manusia berfikir.

“Manuskrip syair mengenai haiwan umpamanya meskipun bersifat menghibur tetapi pada masa yang sama, tidak menyisihkan pengajaran dan mendidik manusia agar mampu membezakan antara kiasan dengan kenyataan serta bohong mahupun benar,” katanya.

http://www.heritage.gov.my/upload/keratan_akhbar/2006/20060725BH01/

-Bukankah sejarah yang telah terjadi itu boleh kita pelajari?? Kasihanilah bangsa kita. Sama-sama kita fikirkan

1 comment:

Amar B. said...

Walaupun dunia kita sudah cukup canggih dengan teknologi, mengapa kita masih menggunakan manusia sebagai tenaga pekerja utama? secanggih mana teknologi itu, masih terdapat satu perbezaan antara manusia dan mesin...iaitu akal. Manusia tidak perlu menunggu arahan untuk bertindak. Jadi, walaupun tidak menerima arahan, perlulah menggunakan akal untuk bertindak mengikut keperluan. Sekian terima kasih. senanye ko nye soalan banyak sgt la, dah la aku x paham bahasa boombastik ko. hahaha