Wednesday, November 29, 2006

UKM terima anugerah kualiti

Oleh Abdul Halim Yusoff



DAPAT PENGIKTIRAFAN: Abdullah menyampaikan Anugerah Kualiti
Perdana Menteri kepada Naib Canselor UKM, Prof
Datuk Dr Sharifah Hapsah Syed Hasan Shahabudin
pada majlis penyampaian AKSA 2006,
malam tadi.

Enam kategori iktiraf tahap kecemerlangan pengurusan organisasi kerajaan

KUALA LUMPUR: Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) malam tadi menerima Anugerah Kualiti Perdana Menteri Sektor Awam 2006, anugerah tertinggi yang mengiktiraf tahap kecemerlangan pengurusan kualiti organisasi kerajaan.

Anugerah itu disampaikan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi pada majlis penyampaian Anugerah Kualiti Sektor Awam (AKSA) 2006, di sini.

Turut hadir, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Sidek Hassan dan Ketua Pengarah Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (Mampu), Datuk Yaacob Hussin.

Sebanyak 15 anugerah dalam enam kategori disampaikan yang turut meliputi sektor swasta dan sektor sosioekonomi.

Petronas Ammonia Sdn Bhd menerima Anugerah Kualiti Perdana Menteri Sektor Swasta; Pertubuhan Peladang Negeri Pahang (Sektor Sosioekonomi) dan Penghargaan Khas Anugerah Kualiti Perdana Menteri Sektor Sosioekonomi kepada Persatuan Bagi Kanak-Kanak Terencat Akal Johor.

Bagi Anugerah Kualiti Sektor Awam, Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) menerima Anugerah Kualiti Ketua Setiausaha Negara; Universiti Teknologi Mara (UiTM), Perak menerima Anugerah Kualiti Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, manakala UiTM Sarawak menerima Anugerah Kualiti Ketua Pengarah Mampu.

Dalam ucapannya, Abdullah menyeru kakitangan awam supaya berusaha melengkapkan diri menjadi kakitangan terbaik dan sempurna supaya persepsi buruk yang sering dikaitkan dengan sistem penyampaian sektor awam dapat dihapuskan.

Perdana Menteri berkata, persepsi seperti itu perlu ditangani dengan berkesan meskipun ia sukar diubah dan hanya membabitkan segelintir pihak yang melakukannya.

Katanya, Malaysia mendapat pengiktirafan tertinggi masyarakat dunia dalam pelbagai bidang seperti usaha memerangi kemiskinan serta menduduki tangga ke-18 sebagai negara perdagangan dunia.

No comments: