Friday, December 15, 2006

Prespektif: Latihan amali tingkat kualiti siswazah
Bersama Saifuddin Abdullah

Pembabitan serius sektor industri bantu tangani masalah pengangguran

AHAD lalu Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Mustapa Mohamed, mengumumkan bahawa tempoh latihan amali mahasiswa universiti awam akan dilanjutkan sehingga enam bulan bagi membolehkan mereka mendapat pendedahan dan menimba lebih banyak pengalaman bekerja.

Ia adalah tambahan kepada tempoh latihan amali sekarang yang diadakan antara satu hingga empat bulan yang didapati tidak memadai.

Dalam pelbagai langkah yang diambil kerajaan bagi meningkatkan kualiti siswazah dari segi peluang mendapatkan pekerjaan dan mengatasi masalah siswazah menganggur, langkah terbaru ini adalah antara yang paling tepat.

Ia memberikan penekanan terhadap proses meningkatkan kualiti bakal siswazah, iaitu ketika mereka masih mahasiswa dan bukannya memperbaiki kualiti selepas mereka menjadi siswazah menganggur.

Walaupun langkah memperbaiki kualiti selepas mereka menjadi siswazah menganggur, contohnya Skim Latihan Siswazah Menganggur adalah penting dan membantu tetapi ia adalah terlambat. Malah, langkah ini tidak sepatutnya timbul.

Tugas dan tanggungjawab utama universiti ialah mendidik siswazah dengan ilmu, bukannya menjamin peluang pekerjaan. Namun, sekiranya universiti ingin menyediakan bakal siswazah dengan bekalan untuk membolehkannya mendapatkan pekerjaan yang sesuai, ini juga tidak salah.

Tetapi, apa yang perlu dilakukan itu hendaklah diselesaikan ketika masih di universiti dan bukannya disambung sehingga mereka meninggalkan universiti.

Latihan amali penting bagi menyediakan bakal siswazah dengan kemahiran kerja. Tempoh latihan amali yang akan ditambah ini menuntut kerjasama dan komitmen daripada majikan.

Masalahnya, sebelum ini pun, iaitu ketika tempoh latihan amali tidak melebihi empat bulan, ada majikan kurang serius. Maka, bagaimana pula keadaannya apabila tempoh ini ditambah?

Majikan yang tidak serius itu tidak menyediakan latihan yang bersesuaian dengan pelatih. Pelatih disuruh melakukan kerja remeh-temeh. Tidak mengapa sekiranya kerja remeh-temeh itu disuruh sebagai persediaan budaya mula bekerja dari bawah.

Tetapi, ada kalanya majikan sengaja melakukan demikian kerana menganggap tempoh latihan amali adalah peluang baginya mendapatkan khidmat pekerja murah atau percuma. Ini tidak sepatutnya berlaku.

Pada masa sama, latihan amali tidak wajar dilihat sebagai jambatan yang menghubungkan universiti dengan majikan atau industri yang dilalui bakal siswazah. Sebaliknya, latihan amali perlu menjadi tahap akhir jambatan berkenaan.

Jambatan itu perlu dimulakan dengan hubungan yang lebih akrab antara universiti dengan industri, yang berlaku dari peringkat awal mahasiswa menjejaki universiti.

Sekali lagi, walaupun konsep sebenar universiti ialah sebagai gedung ilmu dan bukannya kilang mengeluarkan pekerja, tidak salah bagi jambatan antara universiti dan industri diperbaiki termasuk dalam konteks menyediakan peluang pekerjaan bagi siswazah.

Sekiranya wujud hubungan yang lebih rapat antara universiti dan industri, maka kursus yang ditawarkan universiti boleh jadi lebih sesuai dengan pasaran pekerjaan yang disediakan industri.

Model hubungan universiti-industri yang terbaik wujud dalam tradisi Jerman yang melaksanakan dwisistem yang mempunyai universiti berasaskan kemahiran yang menekankan aspek perantisan yang memerlukan pembabitan besar daripada industri.

Model ini cuba diikuti di sini terutama dengan kerajaan menubuhkan beberapa kolej universiti kejuruteraan, teknikal dan teknologi.

Bagaimanapun, pelaksanaan model berkenaan di sebahagian kolej universiti itu boleh dipersoalkan. Sejauh mana kurikulumnya benar-benar berasaskan kemahiran? Dari segi pengajaran dan pembelajaran, adakah semua pensyarahnya berlatar belakang kemahiran?

Adakah penubuhan pusat pengajian lanjutan dalam masa yang cepat menepati tujuan sebenar penubuhannya?

Dari segi pembabitan industri, ia masih jauh daripada diharapkan. Akibatnya, perantisan, iaitu elemen terpenting model dwisistem berkenaan tidak dapat dijalankan dengan secukupnya.

Namun, latihan amali dan hubungan akrab universiti-industri bukanlah segala-galanya dalam konteks peluang siswazah mendapatkan pekerjaan. Kedua-dua perkara ini penting dari segi menyediakan bakal siswazah dengan kemahiran kerja. Tetapi, kemahiran kerja bukanlah segala-galanya.

Di samping kemahiran kerja, ada beberapa ciri lain yang dicari bakal majikan dalam diri siswazah. Ciri-cir berkenaan adalah seperti berinisiatif, proaktif, positif, kreatif, pantas belajar, penyelesai masalah, ahli pasukan, mahir berkomunikasi dan sebagainya. Pokoknya, siswazah perlu mempunyai pakej lengkap ilmu kemahiran sikap yang mantap.

Pakej ini bergantung pada keseluruhan sistem pendidikan yang disediakan universiti. Antara yang paling utama ialah kurikulum asas dan kokurikulum. Kurikulum asas yang kukuh akan memberikan pendidikan yang holistik dan mampu melahirkan siswazah berperibadi sepadu dan seimbang, yang mampu bukan saja mendapatkan pekerjaan sesuai, malah mampu berdikari dengan menjana pekerjaan sendiri, misalnya dengan menjadi usahawan.

Dalam konteks ini, bekas Presiden Universiti Harvard yang kini Pemangku Presiden universiti itu, Derek Bok (2005), dalam bukunya, Our Underachieving Colleges, menyatakan walaupun kebanyakan siswazah mencapai kemajuan dalam banyak aspek, mereka tidak mencapai tahap yang sepatutnya dalam bidang penting seperti penulisan, pemikiran kritikal, kemahiran kuantitatif dan penghujahan.

Sekiranya kita risau mengenai kemampuan siswazah kita bersaing di pentas global, Bok juga mempunyai kerisauan yang sama terhadap siswazah Amerika. Dalam rencananya (2006) bertajuk Are Colleges Failing? dalam The Boston Globe, beliau mengingatkan kini siswazah Amerika bukan saja bertanding sesama mereka tetapi juga dengan mereka dari negara seperti India dan China. Yang menariknya, kedua-dua negara itu jugalah yang menyaingi siswazah kita.

Universiti pula tidak boleh terlalu taksub dengan masalah siswazah menganggur sehingga semua kursus perlu ditawarkan mengikut kehendak pasaran pekerjaan, sehingga ada kursus yang ditutup kerana dikira tiada prospek pekerjaan.

Ini bertentangan fundamental universiti yang perlu menyediakan pendidikan am. Sebab itu, universiti ternama di luar negara, walaupun peka dengan peluang pekerjaan bagi siswazahnya, masih mempunyai kursus seperti bahasa Sanskrit, iaitu kursus yang jarang diberikan perhatian majikan dan industri.

Universiti juga tidak boleh digunakan sebagai nama sesebuah institusi semata-mata untuk menunjukkan ketinggian sesuatu kemahiran yang diajar kepada sekumpulan pelajar. Inilah yang dimaksudkan bekas Naib Canselor Universiti Malaya (2004) dalam bukunya, Universiti dan Tradisi Kecemerlangan sebagai fenomena ‘kolej panjat pokok kelapa’.

Masalah siswazah menganggur tidak boleh dilihat dan ditangani dalam hampagas atau dalam isolasi. Sebaliknya, ia perlu dilihat dan ditangani dalam kerangka yang lebih luas. Ia perlu dilihat sebagai sebahagian daripada masalah belia menganggur kerana siswazah adalah sebahagian daripada belia.

Di samping itu, kita juga perlu mempunyai dasar dan pelan tindakan yang khusus mengenai pekerjaan bagi belia, termasuk siswazah.

Klasifikasi pekerjaan yang digunakan Unit Perancang Ekonomi (EPU) hari ini, terutama bagi kategori pekerja profesional, teknikal dan berkaitan perlu dikemas kini supaya sesuai dengan perkembangan semasa pekerja berasaskan keilmuan (k-pekerja).

Manakala faktor tawaran pasaran, seperti gaji minimum, peraturan dan perundangan yang kondusif juga perlu diperbaiki.

Thursday, December 14, 2006

Latihan amali peluang timba pengalaman

MAJLIS Perwakilan Pelajar Kolej Universiti Islam Malaysia (KUIM) menyokong penuh cadangan Kementerian Pengajian Tinggi untuk melanjutkan tempoh latihan amali sehingga enam bulan bagi pelajar institusi pendidikan tinggi awam (IPTA) bagi memberi pendedahan suasana bekerja lebih banyak kepada mereka.

Kami menyifatkannya sebagai langkah proaktif seperti yang diumumkan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Mustapa Mohamed kelmarin untuk mengurangkan masalah pengangguran di kalangan mahasiswa.

Apabila mahasiswa didedahkan dengan suasana alam pekerjaan, mereka mendapat lebih banyak input serta kemahiran yang tidak dipelajari dalam kuliah.

Kemahiran insaniah atau soft skills inilah yang dapat diterapkan dan diaplikasikan dalam tempoh latihan berkenaan sejajar dengan hasrat kementerian untuk melahirkan mahasiswa IPTA yang mempunyai pelbagai kemahiran.

Tempoh latihan amali yang sedia ada di IPTA iaitu selama 12 minggu tidak mencukupi untuk menimba pengalaman dan pengetahuan. Terdapat juga rungutan daripada pelajar yang mengikuti latihan amali menyatakan bahawa mereka hanya ditempatkan di bahagian yang mempunyai kekosongan dan bukannya tempat pengkhususan mereka.

Ada juga yang hanya datang ke pejabat untuk menjaga kaunter pertanyaan dan membuat urusan teknikal semata-mata. Hal sebegini berlaku disebabkan tempoh latihan amali yang terlalu singkat, apatah lagi tidak ada garis panduan yang khusus bagi firma yang menerima pelajar untuk latihan amali.

Dalam menghadapi dunia pasaran kerja yang semakin kompetitif, langkah memanjangkan tempoh latihan amali amat bersesuaian pada ketika ini. Kami menyambut baik langkah kementerian untuk menggubal serta menyediakan satu garis panduan buat majikan dalam melaksanakan program latihan amali kepada pelajar IPTA.

Setiap IPTA mempunyai tempoh latihan amali yang berbeza dan terdapat beberapa IPTA yang mempunyai tempoh latihan selama sebulan dan ada juga mengikut peruntukan cuti semester. Selain itu, tidak ada penyelarasan waktu bagi pelajar menjalankan latihan amali mereka sama ada pada semester terakhir atau sebagainya.

Hal ini kerana terdapat majikan atau firma yang berminat untuk mengambil pelajar yang menjalankan latihan amali untuk bekerja di tempat mereka. Namun, pelajar ini belum lagi menamatkan pengajian disebabkan mempunyai satu semester lagi di universiti.

Justeru, MPP KUIM mencadangkan latihan amali ini dijalankan pada akhir semester pelajar bagi memberi peluang kepada mereka meluaskan pengalaman dan menarik minat majikan menyerap masuk pelajar berkenaan ke jabatan atau firma mereka.

Selain itu, kami berpendapat program universiti yang dijalankan dengan kerjasama pihak swasta adalah baik, sebagai contoh, KUIM menjalinkan hubungan kerjasama dengan Malaysia Airports Berhad (MAB) bagi menempatkan pelajar KUIM untuk berkhidmat di Lapangan terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Buat masa ini, seramai 24 graduan KUIM bekerja sebagai ‘Duta Kecil’ bagi pelancong khususnya dari negara Asia Barat. Usaha sebegini dilihat sangat berkesan untuk memberi pendedahan kepada siswazah baru di samping membuka peluang pekerjaan kepada mereka.

Langkah ini adalah sejajar dengan saranan kerajaan untuk melahirkan graduan IPTA bersifat ‘Glokal’ yang berakar jati diri kebangsaan dan mampu bersaing di pentas antarabangsa. Penghantaran pelajar Malaysia ke luar negara bagi mengikuti latihan amali dilihat sebagai suatu usaha yang cukup baik dalam menyediakan peluang kepada pelajar mencari pengalaman dan memberi pendedahan berbeza mengikut acuan persekitaran negara asing.

Sebagai contoh, pelajar kejuruteraan dihantar ke Jerman atau Jepun untuk mengikuti latihan amali dan pelajar jurusan muamalat dan ekonomi dihantar menimba pengalaman di pusat perbankan antarabangsa seperti di Bank Pembangunan Islam (IDB) di Jeddah dan sebagainya.

MOHD HARIRI MOHAMAD DAUD,
Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar KUIM.