Thursday, August 30, 2007


MPP tak setuju kuasa autonomi

Oleh Irwan Shafrizan Ismail

KUALA LUMPUR: Beberapa Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) mahu keputusan pemilihan naib canselor dan ahli lembaga pengarah dibuat Kementerian Pengajian Tinggi bagi mengelakkan isu berbangkit sekiranya kuasa autonomi diberikan sepenuhnya kepada IPTA.

Presiden MPP Universiti Malaya (UM), Afandy Sutrisno Tanjung, berkata sebarang keputusan dilakukan kementerian akan dianggap muktamad dan tidak akan dipersoalkan, sebaliknya jika keputusan dibuat IPTA bimbang menimbulkan ketidakpuasan hati sesetengah pihak.


“Seeloknya penilaian pemilihan dibuat universiti dan kemudian nama calon dihantar kepada kementerian untuk dipertimbang dan sebarang keputusan dibuat mereka pasti tidak akan dipertikaikan.

“Pemberian kuasa autonomi ini bagus untuk universiti membuat keputusan sendiri dan MPP menyokong penuh usaha kerajaan, namun untuk pelantikan naib canselor ini perlu pembabitan kementerian,” katanya ketika dihubungi Berita Harian, di sini semalam.

Akhbar semalam melaporkan IPTA bebas memilih naib canselor dan ahli lembaga pengarah menerusi pemberian kuasa autonomi, yang akan dilaksanakan secara berperingkat dalam proses transformasi dan pembaharuan pengajian tinggi negara.

Selain itu, IPTA boleh membuat keputusan sendiri untuk menambah profesional asing, meningkatkan dana universiti menerusi penyediaan tabung khas dan pemilihan pelajar antarabangsa.

Menjelaskan pemberian kuasa autonomi itu, Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Mustapa Mohamed, berkata buat permulaan kuasa autonomi itu akan dinikmati satu atau dua universiti apex, iaitu kelompok universiti elit, yang akan dipilih selewat-lewatnya sebelum September tahun depan.

Presiden MPP Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Mazwan Murad, berkata pemberian kuasa autonomi termasuk kebebasan memilih naib canselor ada baik dan buruknya.

“Kuasa autonomi pasti dapat meningkatkan martabat universiti ke tahap kelas dunia, selain menzahirkan misi dan visi universiti.

“Cuma yang dikhuatiri kuasa autonomi ini digunakan sesetengah pihak untuk kepentingan diri sehingga membelakangkan hak pelajar dan matlamat universiti semata-mata ingin merebut jawatan,” katanya.

Beliau berkata, satu badan induk perlu ditubuhkan pada setiap universiti bagi mengkaji dan mengawal pelaksanaan kuasa autonomi supaya individu yang dilantik ke jawatan tertentu mempunyai kredibiliti.

Presiden MPP Universiti Malaysia Sarawak (Unimas), Azli Ramli, berkata satu unit kawal selia diperlukan supaya sebarang keputusan yang dibuat dapat dinilai secara menyeluruh tanpa sebarang kesilapan.

“Jangan apabila keputusan dibuat, apa perkara yang terlepas pandang sehingga menimbulkan ketidakpuasan hati pelajar dan pensyarah,” katanya.

Presiden MPP Universiti Perguruan Sultan Idris (UPSI), Mohd Izwan Shahril, berkata hanya kementerian mempunyai dasar dan perlu memainkan peranan dalam soal tertentu.

“Saya kurang bersetuju untuk beberapa perkara dalam pemberian kuasa autonomi kerana mahu kerjasama seimbang antara IPTA dan kementerian. Bagi suara pelajar, kami mahu pemilihan diputuskan pihak atasan (kementerian) bagi mengelak menimbulkan isu,” katanya.

Sementara itu, Naib Canselor Universiti Teknologi Mara (UiTM), Datuk Seri Prof Dr Ibrahim Abu Shah, berkata kuasa autonomi di universiti sepatutnya diberi lebih awal bagi mengurangkan kerenah birokrasi dan kongkongan.

http://www.bharian.com.my/m/BHarian/Thursday/Nasional/20070

2 comments:

rehan said...

amacam bila letak jawatan?

Mazuwan Murad said...

yea! Sudah bebas! ahha