Monday, November 06, 2006

Tokoh bahasa sokong UMNO Johor bantah ajar Matematik, Sains dalam BI

KUALA TERENGGANU 6 Nov. – Bekas Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Datuk A. Aziz Deraman mengucapkan syabas dan tahniah kepada Badan Perhubungan UMNO Johor yang menyuarakan bantahannya terhadap pengajaran Matematik dan Sains dalam bahasa Inggeris (BI) di sekolah-sekolah.

Beliau juga menggesa UMNO dan kerajaan memandang serius kenyataan tersebut kerana ia merupakan pandangan rakyat Malaysia sejak awal pengajaran tersebut diperkenalkan beberapa tahun lalu.

‘‘Sistem pendidikan kebangsaan asal yang mengunakan Bahasa Kebangsaan hendaklah dikekalkan,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini, hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor, Datuk Abdul Ghani Othman yang membantah pengajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris atas alasan dasar tersebut hanya menyebabkan bangsa Melayu kehilangan identiti dan jati diri.

Mengulas lanjut A. Aziz menegaskan Kementerian Pelajaran patut mengkaji kenyataan tersebut secara lebih serius tanpa sebarang prejudis.

Katanya, kajian menyeluruh patut dibuat untuk tempoh sekurang-sekurangnya dua tahun setelah penukaran bahasa Inggeris menggantikan bahasa Melayu dalam pengajaran Sains dan Matematik.

‘‘Kajian secara jujur hendaklah dibuat terhadap keberkesanannya terutama bagi sekolah sekolah di luar bandar atau sekolah kebangsaan pesisir bandar.

‘‘Pada pendapat saya isu bahasa pengantar sangat penting kerana melaluinya sesuatu bahasa pengantar ilmu diperolehi, bahasa Inggeris boleh menjejaskan perolehan ilmu kerana bahasa ibunda kanak-kanak sedari awal sejak usia dua tahun adalah dalam bahasa asal mereka,” katanya.

Norma

A. Aziz menambah aspek budaya seperti nilai dan kehidupan norma masyarakat Malaysia tidak mungkin dapat dijayakan melalui bahasa asing.

Menurut beliau lagi aspek ketiga yang seharusnya diberi perhatian ialah perkembangan tamadun berbahasa Melayu itu sendiri akan terbantut dari segi penulisan bahan ilmu, komunikasi antara kaum iaitu bahasa perpaduan.

Beliau turut khuatir masa depan bahasa Melayu dalam sistem pendidikan tinggi akan berubah dan ini mengakibatkan Malaysia tidak akan terbentuk dalam acuannya sendiri.

‘‘Pandangan UMNO Johor itu juga tentu dirasai sama oleh para sarjana, ilmuan dan budayawan Malaysia yang selama ini telah menyatakan bantahan pelaksanaannya empat tahun lalu,’’ katanya.

Dalam hal ini, beliau berharap Perhimpunan Agung UMNO yang bakal berlangsung minggu depan akan membincangkan perkara tersebut yang berkait rapat dengan isu pokok iaitu pencapaian pendidikan, penguasaan ekonomi, pembangunan kebudayaan dan kestabilan,’’ katanya.

-utusan 07/11/06

2 comments:

a.d.a.m.j.u.n.i. said...

bagus la anda ini.rase perti membace berita harian.

Mazuwan Murad said...

hahha! kita kena jaga bahasa kita. Bahasa itu lambang bangsa.. terima kasih adam kerana memberi komen