Wednesday, February 14, 2007


Bahasa Melayu Bahasa Utama Dunia
(diolah daripada Dewan Masyarakat Januari 2006)

Fakta 1-Anggaran oleh David Crystal dalam The Cambridge Encyclopedia of Language
(1987) ada 3000 hingga 10,000 jumlah bahasa di dunia. Terdapat 6000 daripadanya masih digunakan sebagai bahasa pertuturan harian

Fakta 2-Daripada jumlah itu,hanya 20 bahasa sahaja bertaraf rasmi yang
penuturnya berjumlah lebih daripada 50 juta orang. Bahasa Melayu termasuk dalam
senarai 20 bahasa utama dunia ini.

Fakta 3-Jumlah penutur bahasa Melayu di pelbagai peringkat penguasaan di seluruh
dunia adalah lebih daripada 280 juta orang.

Fakta 4-Berdasarkan anggaran ini, bahasa Melayu diiktiraf sebagai bahasa ke5
terbesar di dunia selepas;
1.Bahasa Inggeris(1.4 bilion penutur)
2.Bahasa Cina(lebih 1 bilion penutur)
3.Bahasa Hindi(700 juta penutur)
4.Bahasa Sepanyol(300 juta penutur)
5.Bahasa Melayu(280 juta penutur)
Mendahului bahasa-bahasa penting lain seperti Perancis,
Jepun, Jerman, Korea dan Itali.

Fakta 5-Hanya 8 bahasa sahaja penyebarannya merentasi sempadan menjadi bahasa
rasmi ataupun salah satu bahasa rasmi di beberapa buah negara lain. Iaitu bahasa
Melayu, Inggeris, Perancis, Sepanyol, Arab, Rusia, Portugis dan cina.

Fakta 6-Daripada 8 bahasa hanya bahasa Melayu sahaja menjadi bahasa rasmi di
Malaysia, Indonesia, Brunei, Singapura dan diiktiraf sebagai bahasa kebangsaan
tunggal dalam perlembagaan
negara-negara itu.

Fakta 7-Empat kriteria ukuran bahasa itu bahasa utama dunia ataupun
tidak.1,jumlah penutur bahasa itu besar. 2,taraf bahasa itu sebagai bahasa rasmi
di beberapa buah negara ataupun di negara yang bukan tempat asal bahasa.3,status
atau pentingnya bahasa itu sebagai alat
perhubungan antarabangsa.4,setakat manakah majunyanegara yang menggunakan
bahasa itu sebagai bahasa rasmi.Bahasa Melayu memenuhi semua kriteria itu.

Fakta 8-HANYA Bahasa Melayu sahaja tidak tersebar merentasi sempadan negara
asalnya melalui PENJAJAHAN. Ia berkembang menjadi lingua-franca kerana kedudukan
geografiknya yang strategik di Selat Melaka. Bahasa Melayu dipilih sebagai
bahasa penyatuan di Indonesia sejak
1928 dan diisytihar sebagai bahasa rasmi pada 1945. Mengatasi bahasa Jawa yang
lebih ramai penuturnya.

Fakta 9-Di seluruh dunia, ada lebih kurang 129 pusat pengajian bahasa Melayu- di
Eropah, Amerika Syarikat, Cina, Jepun, Rusia, Korea, Australia, New Zealand dan
lain lain.

Fakta 10-Kekuatan bangsa Melayu terletak pada bahasa ini. Orang Melayu akan
lebih maju dan lebih kreatif akalnya apabila mereka berfikir dalam bahasa ini-
bahasa ibundanya-seperti bangsa lain yang maju kerana mereka berfikir,
mengarang, mencipta ilmu, sains dan teknologi dalam bahasa mereka sendiri.

dipetik daripada Kaca Di Jendela oleh Datuk Dr. Hassan Ahmad, Dewan Masyarakat
Januari 2006

p/s: kita akan lebih percaya kerana faktanya daripada orang asing. bukankan
begitu?

Yahudi mahu hapus peradaban Islam

MAJLIS Perwakilan Pelajar Universiti Utara Malaysia (MPP-UUM) memandang serius pencerobohan Israel ke atas bumi Palestin yang dilakukan bukan saja membuktikan keangkuhan rejim Zionis, malah menafikan kedaulatan negara Palestin.


Selain itu, usaha berterusan ini seolah-olah mencabar kewibawaan gencatan senjata yang dipersetujui kedua-dua pihak November lalu. Dengan pencerobohan Israel ke atas Masjid al-Aqsa, akan memungkinkan sebarang tindakan balas rakyat Palestin terhadap negara itu.

Walaupun pihak berkuasa Israel mendakwa kerja penggalian hanyalah untuk membina jejantas baru dan tidak merosakkan Masjid al-Aqsa, wujud kecenderungan untuk merosakkan tempat suci ketiga umat Islam itu.

Kerja penggalian di Masjid al-Aqsa itu, khususnya menunjukkan Israel mempunyai niat tersembunyi dalam merosakkan dan memusnahkan salah satu peradaban Islam di Asia Barat. Masjid al-Aqsa sudah berusia 1,400 tahun dan sebarang kerja penggalian atau pembinaan akan melemahkan asas masjid berkenaan.

Justeru, MPP-UUM menyelar tindakan pencerobohan Israel kerana ia melanggar prinsip undang-undang antarabangsa, yang mana kedaulatan sesebuah negara perlulah dihormati, disamping Israel tidak berhak mengubah simbol agama dan warisan yang dijajahnya.

Selain itu, kami menyokong usaha kerajaan mendesak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) agar campur tangan dalam soal ini.

MPP-UUM menyokong kenyataan Menteri Luar, Datuk Seri Syed Hamid Albar, kelmarin mengenai desakan ini. Usaha tegas dan pantas perlulah diambil agar pencerobohan Israel ini tidak memusnahkan dan menghilangkan peradaban Islam yang berusia ratusan tahun itu.

MPP-UUM mengharapkan usaha kerajaan untuk mendapat sokongan daripada negara Pertubuhan Persidangan Negara Islam (OIC) bagi membantah pencerobohan ini akan diterima dan didengar suaranya dalam PBB.

IDZUAFI HADI KAMILAN,
Yang Dipertua
Majlis Perwakilan Pelajar
Universiti Utara Malaysia (UUM).

Sunday, February 11, 2007

Kelebihan memiliki harta halal diberkati Allah
Susunan Hashim Ahmad


KEPERLUAN asas bagi setiap insan yang menghuni alam yang fana ini ialah makanan, pakaian dan tempat tinggal.

Hidup seseorang itu akan berada dalam keadaan yang tidak sempurna apabila tidak mempunyai makanan mencukupi untuk mengalas perut, pakaian untuk menutupi aurat dan tempat tinggal untuk berteduh dan melepaskan penat selepas bekerja seharian.

Bagi umat Islam, dalam usaha mendapatkan perkara di atas - makanan, pakaian dan tempat tinggal - atau dengan lain perkataan untuk mendapatkan harta, mereka diwajibkan memperolehnya dengan cara yang halal.

Islam melarang keras umatnya mengumpul harta melalui jalan penipuan, peras ugut, pencurian, rompakan atau dengan menjual benda yang diharamkan syarak.

Setiap orang yang mengaku dirinya beragama Islam, hendaklah yakin dan percaya bahawa harta yang diperoleh melalui jalan yang tidak diredai Allah tidak dijamin keberkatannya.

Berkat adalah satu perkataan Arab yang sukar hendak dicari pengertiannya yang tepat dalam bahasa Melayu.

Tetapi lantaran kelaziman dan kekerapan menggunakannya seolah-olah menjadi satu perkataan Melayu.

Bagaimanapun, dapat dikatakan bahawa berkat adalah satu perkataan agama yang tulen. Ia tidak pernah didengar oleh manusia kecuali selepas diturunkan wahyu daripada Allah s.w.t.

Meneliti kepada kebiasaan penggunaannya, maka pengertian yang paling hampir bagi perkataan berkat ialah membiak atau meluas. Ini jelas kalau kita perhatikan maksud ungkapan yang selalu diucapkan ulama seperti “pekerjaan kamu ini tidak ada berkat (membiak). Ia tidak dapat memelihara anak isteri. Kamu juga tidak dapat membuat harta dengan kerja ini.”

Oleh sebab perkataan berkat adalah perkataan agama yang tulen, maka ia mempunyai hubungan yang rapat dengan agama juga.

Harta yang diberkati akan terus berkekalan dan mencukupi untuk membiayai hidup walaupun jumlahnya sedikit sahaja.

Untuk mendapat harta yang diberkati, usaha yang dijalankan jangan ditumpukan untuk kepentingan dunia semata-mata, sebaliknya mengambil kira juga kepentingan akhirat.

Menyedari hakikat mereka akan mati dan dihidupkan kembali di akhirat kelak, adalah merugikan sekali jika usaha yang dilakukan hanya untuk kepentingan dunia semata-mata.

Berusaha dengan ikhlas dan mengikut jalan yang diredai Allah. Apabila kita mengajar, biarlah ilmu yang diajar itu boleh dijadikan bekal hingga ke akhirat. Apabila kita belajar, biarlah masa yang digunakan akan mendapat faedah di akhirat.

Begitulah juga dengan kerja lain seperti sembahyang, berniaga dan berkahwin.

Setiap orang yang mengaku dirinya beragama Islam tidak akan terlepas daripada memohon keberkatan daripada Allah. Saban hari sebelum matahari terbit, umat Islam diwajibkan bersembahyang Subuh dan dalam sembahyang itu, Qunut dibacakan.

Antara lain maksud Qunut berbunyi: “Dan berkatlah bagiku pada segala nikmat yang Engkau kurniakan.”

Dengan lain perkataan, apa yang dipohonkan dalam bacaan Qunut ialah daripada sebanyak nikmat yang diberikan Allah kepada seseorang itu seperti tubuh badan yang sihat dan sempurna, pemberian anak, isteri, suami, rumah, pekerjaan yang disandang dan sebagainya biarlah disertakan keberkatan-Nya.

Perlulah memohon keberkatan Allah supaya memberikan anak dan isteri yang soleh. Biarlah anak yang diberi itu anak yang dapat menolong ibu bapa sejak daripada dunia hinggalah ke akhirat.

Dalam mengharungi hidup seharian, umat Islam sepatutnya berpandangan jauh dan menjadikan ajaran Islam sebagai panduan hidup.

Sesungguhnya serban yang melilit kemas di kepala, janggut yang mencecah pusat atau jubah yang meleret labuh bukanlah menjadi satu ukuran yang tepat mengenai hati dan pegangan hidup seseorang itu.

Semua itu adalah barang luar. Apa yang pentingnya ialah di dalam hati.

Apabila hidup tidak mementingkan soal akhirat khususnya dalam urusan mencari harta, ia boleh disamakan apa yang dilakukan orang kafir.

Orang kafir tidak pernah memikirkan hal yang berkaitan dengan hari akhirat. Apa yang dipentingkan ialah wang dan harta yang banyak, rumah besar, hidup senang dan sebagainya.

Pendek kata hidup mereka adalah berdasarkan konsep hidup: membujur lalu melintang patah.

Soal keberkatan sudah tidak diambil kira lagi. Malah, mereka tidak percaya bahawa setiap sesuatu adalah daripada Allah.

Di sinilah kelebihan memiliki harta yang halal dan diberkati Allah. Umat Islam juga perlu sentiasa bersyukur kerana Allah berjanji menambah nikmatnya kepada mereka yang berbuat demikian.

Ini jelas dinyatakan dalam al-Quran yang bermaksud: “Dan (ingatlah) tatkala memberi ingat Tuhan kamu: Sesungguhnya jika bersyukur kamu, akan ditambahkan untuk kamu. Dan jika kufur kamu, sesungguhnya azab-Ku adalah sangat pedih.” (Surah Ibrahim: Ayat 7).