Sunday, February 11, 2007

Kelebihan memiliki harta halal diberkati Allah
Susunan Hashim Ahmad


KEPERLUAN asas bagi setiap insan yang menghuni alam yang fana ini ialah makanan, pakaian dan tempat tinggal.

Hidup seseorang itu akan berada dalam keadaan yang tidak sempurna apabila tidak mempunyai makanan mencukupi untuk mengalas perut, pakaian untuk menutupi aurat dan tempat tinggal untuk berteduh dan melepaskan penat selepas bekerja seharian.

Bagi umat Islam, dalam usaha mendapatkan perkara di atas - makanan, pakaian dan tempat tinggal - atau dengan lain perkataan untuk mendapatkan harta, mereka diwajibkan memperolehnya dengan cara yang halal.

Islam melarang keras umatnya mengumpul harta melalui jalan penipuan, peras ugut, pencurian, rompakan atau dengan menjual benda yang diharamkan syarak.

Setiap orang yang mengaku dirinya beragama Islam, hendaklah yakin dan percaya bahawa harta yang diperoleh melalui jalan yang tidak diredai Allah tidak dijamin keberkatannya.

Berkat adalah satu perkataan Arab yang sukar hendak dicari pengertiannya yang tepat dalam bahasa Melayu.

Tetapi lantaran kelaziman dan kekerapan menggunakannya seolah-olah menjadi satu perkataan Melayu.

Bagaimanapun, dapat dikatakan bahawa berkat adalah satu perkataan agama yang tulen. Ia tidak pernah didengar oleh manusia kecuali selepas diturunkan wahyu daripada Allah s.w.t.

Meneliti kepada kebiasaan penggunaannya, maka pengertian yang paling hampir bagi perkataan berkat ialah membiak atau meluas. Ini jelas kalau kita perhatikan maksud ungkapan yang selalu diucapkan ulama seperti “pekerjaan kamu ini tidak ada berkat (membiak). Ia tidak dapat memelihara anak isteri. Kamu juga tidak dapat membuat harta dengan kerja ini.”

Oleh sebab perkataan berkat adalah perkataan agama yang tulen, maka ia mempunyai hubungan yang rapat dengan agama juga.

Harta yang diberkati akan terus berkekalan dan mencukupi untuk membiayai hidup walaupun jumlahnya sedikit sahaja.

Untuk mendapat harta yang diberkati, usaha yang dijalankan jangan ditumpukan untuk kepentingan dunia semata-mata, sebaliknya mengambil kira juga kepentingan akhirat.

Menyedari hakikat mereka akan mati dan dihidupkan kembali di akhirat kelak, adalah merugikan sekali jika usaha yang dilakukan hanya untuk kepentingan dunia semata-mata.

Berusaha dengan ikhlas dan mengikut jalan yang diredai Allah. Apabila kita mengajar, biarlah ilmu yang diajar itu boleh dijadikan bekal hingga ke akhirat. Apabila kita belajar, biarlah masa yang digunakan akan mendapat faedah di akhirat.

Begitulah juga dengan kerja lain seperti sembahyang, berniaga dan berkahwin.

Setiap orang yang mengaku dirinya beragama Islam tidak akan terlepas daripada memohon keberkatan daripada Allah. Saban hari sebelum matahari terbit, umat Islam diwajibkan bersembahyang Subuh dan dalam sembahyang itu, Qunut dibacakan.

Antara lain maksud Qunut berbunyi: “Dan berkatlah bagiku pada segala nikmat yang Engkau kurniakan.”

Dengan lain perkataan, apa yang dipohonkan dalam bacaan Qunut ialah daripada sebanyak nikmat yang diberikan Allah kepada seseorang itu seperti tubuh badan yang sihat dan sempurna, pemberian anak, isteri, suami, rumah, pekerjaan yang disandang dan sebagainya biarlah disertakan keberkatan-Nya.

Perlulah memohon keberkatan Allah supaya memberikan anak dan isteri yang soleh. Biarlah anak yang diberi itu anak yang dapat menolong ibu bapa sejak daripada dunia hinggalah ke akhirat.

Dalam mengharungi hidup seharian, umat Islam sepatutnya berpandangan jauh dan menjadikan ajaran Islam sebagai panduan hidup.

Sesungguhnya serban yang melilit kemas di kepala, janggut yang mencecah pusat atau jubah yang meleret labuh bukanlah menjadi satu ukuran yang tepat mengenai hati dan pegangan hidup seseorang itu.

Semua itu adalah barang luar. Apa yang pentingnya ialah di dalam hati.

Apabila hidup tidak mementingkan soal akhirat khususnya dalam urusan mencari harta, ia boleh disamakan apa yang dilakukan orang kafir.

Orang kafir tidak pernah memikirkan hal yang berkaitan dengan hari akhirat. Apa yang dipentingkan ialah wang dan harta yang banyak, rumah besar, hidup senang dan sebagainya.

Pendek kata hidup mereka adalah berdasarkan konsep hidup: membujur lalu melintang patah.

Soal keberkatan sudah tidak diambil kira lagi. Malah, mereka tidak percaya bahawa setiap sesuatu adalah daripada Allah.

Di sinilah kelebihan memiliki harta yang halal dan diberkati Allah. Umat Islam juga perlu sentiasa bersyukur kerana Allah berjanji menambah nikmatnya kepada mereka yang berbuat demikian.

Ini jelas dinyatakan dalam al-Quran yang bermaksud: “Dan (ingatlah) tatkala memberi ingat Tuhan kamu: Sesungguhnya jika bersyukur kamu, akan ditambahkan untuk kamu. Dan jika kufur kamu, sesungguhnya azab-Ku adalah sangat pedih.” (Surah Ibrahim: Ayat 7).

No comments: