Wednesday, February 14, 2007

Yahudi mahu hapus peradaban Islam

MAJLIS Perwakilan Pelajar Universiti Utara Malaysia (MPP-UUM) memandang serius pencerobohan Israel ke atas bumi Palestin yang dilakukan bukan saja membuktikan keangkuhan rejim Zionis, malah menafikan kedaulatan negara Palestin.


Selain itu, usaha berterusan ini seolah-olah mencabar kewibawaan gencatan senjata yang dipersetujui kedua-dua pihak November lalu. Dengan pencerobohan Israel ke atas Masjid al-Aqsa, akan memungkinkan sebarang tindakan balas rakyat Palestin terhadap negara itu.

Walaupun pihak berkuasa Israel mendakwa kerja penggalian hanyalah untuk membina jejantas baru dan tidak merosakkan Masjid al-Aqsa, wujud kecenderungan untuk merosakkan tempat suci ketiga umat Islam itu.

Kerja penggalian di Masjid al-Aqsa itu, khususnya menunjukkan Israel mempunyai niat tersembunyi dalam merosakkan dan memusnahkan salah satu peradaban Islam di Asia Barat. Masjid al-Aqsa sudah berusia 1,400 tahun dan sebarang kerja penggalian atau pembinaan akan melemahkan asas masjid berkenaan.

Justeru, MPP-UUM menyelar tindakan pencerobohan Israel kerana ia melanggar prinsip undang-undang antarabangsa, yang mana kedaulatan sesebuah negara perlulah dihormati, disamping Israel tidak berhak mengubah simbol agama dan warisan yang dijajahnya.

Selain itu, kami menyokong usaha kerajaan mendesak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) agar campur tangan dalam soal ini.

MPP-UUM menyokong kenyataan Menteri Luar, Datuk Seri Syed Hamid Albar, kelmarin mengenai desakan ini. Usaha tegas dan pantas perlulah diambil agar pencerobohan Israel ini tidak memusnahkan dan menghilangkan peradaban Islam yang berusia ratusan tahun itu.

MPP-UUM mengharapkan usaha kerajaan untuk mendapat sokongan daripada negara Pertubuhan Persidangan Negara Islam (OIC) bagi membantah pencerobohan ini akan diterima dan didengar suaranya dalam PBB.

IDZUAFI HADI KAMILAN,
Yang Dipertua
Majlis Perwakilan Pelajar
Universiti Utara Malaysia (UUM).

No comments: