Tuesday, March 13, 2007

Merapatkan jurang ilmu
Oleh Ahmad Nazri Mohamad


BERITA baik buat ibu bapa dan pendidik tanah air! Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengumumkan peruntukan tambahan RM2.6 bilion bagi meningkatkan taraf pendidikan sekolah luar bandar seterusnya memanfaatkan 2.2 juta pelajar di seluruh negara.

Bagai tanah gersang dicurah hujan, pengumuman Perdana Menteri diibaratkan satu lagi kemenangan buat warga pendidik yang selama ini berhempas pulas memperjuang, melaksana dan menjayakan Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK).

Lebih indah lagi, peruntukan tambahan yang menjadikan peruntukan buat Kementerian Pelajaran keseluruhannya berjumlah RM12.3 bilion (RM9.7 bilion diluluskan dalam Rancangan Malaysia Kesembilan/RMK-9 tahun lalu), diisytihar Abdullah sehari selepas berakhirnya Seminar Kebangsaan Isu-isu Pendidikan Negara Ketiga pada 14 Februari lalu.

Berdasarkan Program Lonjakan Perdana Pendidikan Luar Bandar yang diumumkan itu, kerajaan merancang untuk menyediakan infrastruktur, membangunkan kemudahan teknologi komunikasi dan maklumat, memberi insentif guru dan menyediakan kemudahan di pedalaman, melaksanakan program intervensi, memberi sokongan dan bantuan untuk murid.

Program itu menjawab beberapa isu pembangunan penting yang dibincangkan pada seminar bertemakan ‘Dasar Dan Pelaksanaan - Ke Arah Pengukuhan Hala Tuju Dasar Pendidikan Negara’.

Peruntukan tambahan RM2.6 bilion adalah angka yang amat besar, namun keperluannya dalam sektor pendidikan amat mendesak terutama dalam usaha pembinaan modal insan.

Bak kata tokoh pendidikan negara, Tan Sri Dr Abdul Rahman Arshad, “Jangan cakap pasal modal insan jika cakap pasal kos.”

Dr Abdul Rahman ada membangkitkan masalah kekurangan kemudahan asas di sekolah luar bandar begitu berbeza dengan sekolah bandar, bagaikan langit dan bumi.

Beliau mendedahkan betapa masih ada guru sekolah di pedalaman yang terpaksa tidur dalam stor sekolah kerana ketiadaan rumah guru.

‘Penderitaan’ guru di pedalaman itu begitu menyentuh hati tokoh seperti Dr Abdul Rahman hingga beliau terpaksa melabelkan persekolahan rendah adalah suatu `tempoh kesengsaraan’.

Bertitik tolak daripada masalah kemudahan asas itulah menyebabkan Dr Abdul Rahman yang turut menyampaikan ucap tama pada pembukaan seminar anjuran Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) itu mengutarakan cadangan untuk memendekkan jangka masa persekolahan rendah.

Program Lonjakan Perdana Pendidikan Luar Bandar dilihat sebagai jalan penyelesaian kepada beberapa isu penting, bagaimanapun, Seminar Kebangsaan Isu-isu Pendidikan Negara Ketiga yang berlangsung selama dua hari di Institut Latihan Keselamatan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja, Bangi juga melihat banyak isu lain yang masih belum selesai.

Antaranya, isu Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) mewujudkan polemik berpanjangan di kalangan ahli akademik dan politik, ibu bapa, golongan pentadbir serta pelaksana dasar pendidikan kebangsaan.

Contoh gerakan paling besar pernah dilakukan untuk menolak PPSMI dibuat melalui Konvensyen Umno Johor menjelang Perhimpunan Agung Umno tahun lalu.

Walaupun usul itu ditolak dan kerajaan memutuskan PPSMI mesti diteruskan, ia sudah cukup untuk menjadi petanda bahawa sebilangan besar masyarakat masih belum dapat menerimanya.

Dalam membicarakan persoalan PPSMI, Dr Abdul Rahman mempunyai pendekatan tersendiri. Bagi beliau, PPSMI mempunyai matlamat baik tetapi cara pelaksanaannya perlu diubah suai.

“Saya ikut objektif, tidak mengikut cara. Jika mengikut cara tidak boleh mencapai objektif, saya pandang objektif boleh tercapai atau tidak,” katanya ketika mengupas isu PPSMI.

Dr Abdul Rahman mengutarakan satu cadangan bagi pelaksanaan PPSMI iaitu dijalankan secara terbalik di peringkat sekolah menengah berbanding di sekolah rendah seperti amalan sekarang.

Apa rasional beliau? Jawapan bagi soalan itu boleh dirujuk pada kenyataan beliau, “Kita ada cara untuk semua, tetapi tidak semua dapat melalui cara sama.”

Menurut Dr Abdul Rahman, pelaksanaan di peringkat menengah adalah jalan pintas untuk menghasilkan lebih ramai lepasan sekolah yang boleh berbahasa Inggeris seterusnya melahirkan lebih cepat dan banyak guru yang berkemahiran bahasa kedua itu.

Beliau berkata, pelajar sekolah menengah lebih matang dan bilangan pelajar lebih kecil memudahkan tumpuan guru manakala persekitaran dan kemudahan sekolah menengah yang banyak terletak di kawasan bandar dan membangun memanfaatkan penggunaan bahasa Inggeris.

Beliau membuat perbandingan dengan pelaksanaan PPSMI di sekolah rendah yang dibelenggu pelbagai masalah dan rintangan.

“Di pedalaman, sekolah rendah, kemudahan tak cukup dan murid sedikit. Nak belajar guru tak sempurna dan tak cukup kemudahan,” katanya.

Menurut beliau, sekolah luar bandar juga sering mendapat guru yang kurang pengalaman dan lemah penguasaan bahasa Inggeris menyebabkan guru terbabit sukar untuk menggunakan bahasa itu dalam pengajaran mereka.

“Pembelajaran bahasa Inggeris dalam Sains dan Matematik bagi orang Kuala Lumpur, Kajang, boleh ikut.

“Tetapi, tidak orang Kelantan. Sekolah rendah di Gua Musang, murid belajar bahasa Inggeris, tetapi dengan siapa mereka hendak cakap, bagaimana hendak praktikkan?

“Sudahnya, murid tak pandai juga,” katanya.

Banyak lagi isu dibangkitkan Dr Abdul Rahman, begitu juga isu yang dibentang dan dibincangkan barisan pembentang kertas kerja dan peserta pada seminar berkenaan.

Permasalahan meliputi pelbagai aspek termasuk guru tidak mahir berbahasa Inggeris, terpaksa mengajar bahasa Inggeris menggunakan bahasa Melayu untuk memudahkan kefahaman murid, tiada alat bantu mengajar mencukupi dan murid tidak dapat mempraktikkan bahasa kedua yang dipelajari.

Secara keseluruhannya, Seminar Kebangsaan Isu-isu Pendidikan Negara Ketiga merumuskan kajian semula yang lebih menyeluruh harus dilakukan terhadap keberkesanan kaedah pengajaran bahasa Inggeris.

Seminar yang menghasilkan 43 resolusi itu turut memperaku dan meluluskan resolusi bahawa semua penyelidikan yang berkaitan PPSMI hendaklah dibukukan dan dikemukakan kepada kerajaan bagi pertimbangan kajian semula pelaksanaannya.

Resolusi itu juga memutuskan pelaksanaan PPSMI didapati agak mendadak menyebabkan berlaku keciciran dan pencairan di kalangan murid dan guru justeru melebarkan jurang pendidikan.

Impak bersifat ilmiah ini hendaklah diambil kira secara bersungguh-sungguh untuk mengkaji semula pelaksanaan PPSMI dan pendekatan pengajaran serta pembelajaran bahasa Inggeris perlu diorientasikan ke arah keperluan dan fungsi kerjaya dan kehidupan.

No comments: