Bahasa Melayu mampu jadi bahasa komunikasi global
TANGGAL 16 Mac lalu, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) menjadi saksi betapa tingginya martabat bahasa Melayu di mata dunia walaupun kedudukannya semakin tercabar di tanah airnya sendiri.
Buat julung kalinya di dunia, Pertandingan Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu Piala Timbalan Perdana Menteri 2007 telah diadakan dan disiarkan secara langsung ke seluruh negara menerusi saluran RTM 1. Majlis murni yang amat bersejarah ini adalah antara manifestasi kesungguhan kerajaan memartabatkan bahasa Melayu sehingga ke pentas antarabangsa. Pastinya mereka yang memenuhi dewan di PWTC serta para penonton di rumah kagum melihat betapa fasihnya peserta-peserta dari segenap ceruk dunia berhujah dan menyatakan pendapat dalam bahasa kebangsaan kita.
Benarlah pendapat seorang sarjana Barat, James T. Collins dalam Manifesto Budaya: Pupus Bahasa Pupuslah Bangsa suntingan Asraf bahawa bahasa Melayu telah lama bersifat antarabangsa.
Kepetahan pengucapan bahasa Melayu oleh para peserta dari 24 buah negara seluruh dunia termasuk dari Rusia, Korea Selatan, Jepun, China, India, Mesir, Perancis, United Kingdom, Amerika Syarikat, Jerman, Ukraine dan Afrika selain dari negara-negara serantau membuktikan bahasa Melayu mampu digunakan sebagai bahasa komunikasi global.
Malah, bahasa Melayu juga berupaya menjadi wahana penyebaran pelbagai disiplin ilmu yang melangkaui sempadan negara. Gagasan ini dapat diteliti menerusi inti pati ucapan perasmian Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang menegaskan Malaysia tidak akan berundur daripada matlamat menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu yang mantap dan tersohor.
Bahasa Melayu hanya akan menjadi bahasa ilmu jika kita sendiri terlebih dahulu bertanggungjawab mengangkat maruah dan fungsi bahasa Melayu dalam semua bidang ilmu di setiap peringkat pendidikan.
Dengan itu, barulah pengeksportan ilmu dan penghantaran tenaga pengajar serta pakar runding bahasa Melayu ke negara-negara asing seperti yang diharapkan oleh Datuk Seri Najib. Dalam masa yang sama, penguasaan bahasa Melayu di kalangan bangsa kita juga harus diberi perhatian. Tentunya satu perkembangan yang menggusarkan jika keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2006 bagi mata pelajaran Bahasa Melayu dijadikan petunjuk sejauh mana tahap penguasaan bahasa Melayu generasi muda negara ini.
Peratusan calon yang mendapat gred D, E dan gagal bagi mata pelajaran tersebut semakin meningkat. Sebanyak 33.2 peratus iaitu 138,350 orang pelajar daripada jumlah 416,717 calon SPM 2006 di seluruh negara berada di dalam kelompok gred tersebut. Keadaan yang membimbangkan ini tentunya dipengaruhi oleh kecenderungan sebahagian besar daripada kita yang terlalu mengutamakan bahasa Inggeris dan bahasa Mandarin sebagai bahasa ilmu dan bahasa ekonomi di negara ini.
Akibatnya, bahasa Melayu dengan sengaja semakin dipinggirkan. Tidak hairanlah jika golongan pelajar turut menganggap bahasa Melayu tidak lagi penting untuk dipelajari apatah lagi mahu dikuasai.
Bagaimana bahasa Melayu akan berkembang menjadi bahasa ilmu jika sikap dan tindakan kita tidak menjurus untuk membantu mencapai hasrat tersebut?
Percayalah dengan kekuatan lebih 280 juta penutur bahasa Melayu serta bercambahnya minat warga dunia terhadap bahasa Melayu, tidak mustahil ia mampu diiktiraf menjadi bahasa ilmu, bahasa kemajuan dan bahasa komunikasi global.
Apa pun ia terpulang kepada pendirian kita. Hendak seribu daya, tidak hendak pelbagai dalih. Kita harus berasa berdosa sekiranya pengiktirafan terhadap bahasa Melayu sebagai bahasa kelima terbesar di alam ini disia-siakan potensinya.
Amatlah menghairankan apabila masih ada antara kita memperlekeh bahasa Melayu sedangkan dalam masa yang sama telah wujud 129 buah pusat pengajian bahasa Melayu di seluruh pelosok dunia.
Jika si gadis manis Olga Vadimovna Vasilevskaya dari Rusia hanya memerlukan tempoh tiga tahun untuk bertutur dengan lancar dan yakin dalam bahasa Melayu, mengapa tidak bangsa Malaysia yang tanah tumpah darahnya di tanah air ini masih ragu-ragu dan malu untuk menggunakan bahasa Melayu?
– MOHD. ARIF ATAN, Akademi Pengajian Melayu,Universiti Malaya.
No comments:
Post a Comment