Friday, March 23, 2007

Penyelidik perkukuh bahasa Melayu

PENYELIDIK linguistik perlu mengkaji langkah untuk memastikan sur- vival bahasa Melayu dalam menghadapi cabaran arus globalisasi, kata Timbalan Naib Canselor (Hal-Ehwal Penyelidikan dan Inovasi) Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof Datuk Dr Ibrahim Komoo.
Beliau berkata, usaha itu penting bagi mengenal pasti strategi berkesan ke arah memperkukuh bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dan budaya.“Penyelidik perlu mengkaji cabaran dihadapi bahasa Melayu pada masa kini dan akan datang serta bagaimana ia boleh menggugat ketamadunan masyarakat Nusantara dalam jangka panjang, supaya dapat ditangani segera.
Inisiatif sebegini penting kerana bahasa Melayu mulai digugat arus globalisasi dan banyak pihak melihatnya tidak mampu berperanan sebagai bahasa ilmu atau bersaing dengan bahasa ilmu utama.Justeru, menjadi tanggungjawab kita memperkasa bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dan budaya. Kita mahu rakyat menguasai kemahiran pelbagai bahasa tetapi pada masa sama fasih dan mencintai bahasa kebangsaan,” katanya kepada Berita Harian, baru-baru ini.
Terdahulu ketika berucap merasmikan Seminar Kebangsaan Linguistik 2007 bertema `Penyelidikan Linguistik: Pemantapan dan Pembinaan Teori’ di kampus induk Bangi, Ibrahim berkata, kegiatan penyelidikan penting kepada masyarakat dan negara.“Untuk menjadi negara maju, kita perlu menggiatkan penyelidikan sendiri tanpa bergantung sepenuhnya kepada penyelidikan pihak lain.“Tambahan pula, penemuan baru melalui penyelidikan di luar negara tidak semestinya bermanfaat dan tepat untuk Malaysia kerana faktor kelainan budaya, persekitaran serta keadaan,” katanya.

No comments: