Tragedi 9/11 propaganda AS
Oleh Khairunnisa Kamarudin
Rodriguez orang terakhir keluar bangunan WTC tekad bongkar penipuan
SEBAIK pesawat American Airlines Flight 11 (Boeing 767-200) merempuh Menara Utara Pusat Dagangan Dunia (WTC) jam 8.46 pagi, William Rodriguez, yang ketika itu berada di tingkat bawah, berlari menaiki tangga ke tingkat 33 dan 34 bangunan 110 tingkat itu untuk membuka pintu tangga bagi membolehkan kira-kira 15 orang yang terperangkap di tingkat berkenaan dikeluarkan.
Rodriguez, 48, yang bekerja menyelenggara bangunan itu lebih 20 tahun tidak memikirkan nyawanya atau melarikan diri daripada bangunan yang terbakar, tetapi hanya terfikir nasib pekerja yang mungkin terperangkap di tingkat berkenaan kerana beliau seorang mempunyai kunci induknya.
“Hanya saya seorang saja yang mempunyai kunci untuk masuk ke tangga Menara Utara dan selepas berjaya membawa keluar 15 mangsa pertama, saya kemudian membawa sekumpulan anggota bomba menaiki tangga ke beberapa tingkat lain untuk membuka pintu tangga.
“Tindakan kami berjaya menyelamatkan beratus pekerja yang terperangkap. Ketika itu asap tebal menyelubungi bangunan, api merebak ke tingkat bawah mengakibatkan ada antara mangsa yang diselamatkan terbakar sebahagian badan.
“Ketika itu keadaan kelam-kabut. Kami masuk setingkat demi setingkat... ada yang panik, ada yang menangis dan ada juga yang pengsan kerana lemas disebabkan terhidu asap.
“Saya sendiri hampir mati apabila menara itu runtuh ketika berlari keluar. Saya sangat bersyukur masih hidup. Ia satu satu keajaiban kerana saya masih hidup untuk menceritakan apa yang berlaku,” katanya ketika ditemui di Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Beliau berada di negara ini untuk memberi ceramah pada Festival Islam Antarabangsa.
Tragedi malang itu bukan saja menyebabkan 2,801 nyawa rakyat Amerika Syarikat (AS) dan warga pelbagai negara lain melayang, ia juga memulakan perang besar-besaran terhadap pengganas di seluruh dunia diketuai AS dan sekutunya.
Rodriguez yang berasal dari Puerto Rico, bukan saja mempertaruhkan nyawanya memasuki bangunan yang hampir musnah itu tiga kali selepas serangan pertama pada jam 8.46 pagi, beliau juga antara orang terakhir keluar dari Menara Utara.
Menceritakan keadaan pagi itu, Rodriguez berkata beliau masuk pejabat lambat sedikit daripada biasa iaitu jam 8.30 pagi.
“Sebelum bangunan dirempuh pesawat, saya terdengar letupan kuat di bahagian atas. Mulanya saya sangkakan bunyi letupan penjana tenaga. Beberapa saat kemudian, saya dengar satu lagi letupan kuat dan terasa bangunan itu bergegar.
“Saya memaklumkan mengenai letupan sebelum dirempuh pesawat kepada Suruhanjaya 9/11 yang menyiasat tragedi itu, bagaimanapun mereka tak percaya cerita saya. Mereka tetap mengaitkannya dengan pengganas Islam, padahal saya pasti letupan berlaku sebelum rempuhan. Itu yang menjadi sehingga sekarang.
“Malah, beberapa bulan sebelum kejadian, saya melihat salah seorang daripada lelaki yang kemudian dikenal pasti antara yang merempuh menggunakan pesawat di Menara Utama. Bagaimanapun, saya tidak tahu apa tujuannya ke situ.
Sebaik selepas tragedi itu, Rodriguez kehilangan pekerjaan dan hidup merempat, sering tidur di dalam kereta atau di bawah jambatan kerana tiada wang untuk membayar sewa rumah.
“Dalam menghadapi waktu sukar dan pelbagai halangan, saya meneruskan perjuangan untuk mencari kebenaran. Kerana itulah, saya mula mengadakan ceramah memberitahu dunia apa sebenarnya berlaku dan pembohongan AS untuk mengaitkan Peristiwa 9/11 dengan pengganas Islam.
“Dunia perlu tahu penipuan yang dilakukan Presiden George W Bush dan Amerika Syarikat mengenai tragedi itu dengan mengaitkan Islam dan keganasan,” katanya.
Kini Rodriguez mengabadikan hidupnya untuk membantu keluarga mangsa tragedi itu dengan menghabiskan masa bersama mereka dan membantu setakat mampu. Beliau juga kini dalam misi untuk menyebarkan mesej keamanan di semua tempat yang dilawatinya.
Beliau bertekad untuk terus membongkar penipuan yang dilakukan AS untuk mengaburi mata dunia yang tidak tahu perkara sebenar.
“Bagi saya, ini semua adalah propaganda AS untuk mencipta ketakutan dan membuat ramai orang memusuhi Islam selain memperluaskan takluknya ke seluruh dunia bagi menguasai ekonomi,” katanya.
Islam bukan agama ganas seperti didakwa
SELEPAS terselamat dalam tragedi yang mengorbankan 2,801 nyawa dalam kejadian 9/11, William Rodriguez banyak berfikir betapa untungnya beliau kerana masih dapat bernafas dan menjalani kehidupan tanpa sebarang kecacatan.
Justeru itu, beliau mula mendalami agama Islam untuk mengetahui mengenai keindahannya, lebih-lebih lagi selepas banyak pihak melabel Islam sebagai agama ganas.
“Saya bersyukur dan mula merasakan ada kuasa agung menyelamatkan saya daripada tragedi itu. Selepas mendengar pelbagai cemuhan dan tanggapan negatif mengenai Islam, saya cuba mendekatkan diri dengan agama suci ini dengan bertemu tokoh agama terkenal serta imam dari masjid di Amerika Syarikat (AS).
“Saya menganut agama Islam tahun lalu sewaktu berada di London dengan disaksikan pendakwah terkenal, Yusuf Estes yang sebelum memeluk Islam adalah seorang paderi di Texas. Pada mulanya saya pelik kerana semua tokoh agama yang saya temui tidak pernah memaksa saya bertukar agama.
“Selepas mendalami Islam, saya baru sedar Islam adalah indah dan tidak ada paksaan dalam ajarannya. Semua ini membuktikan tanggapan orang bukan Islam mengenai Islam agama pengganas dan bermula dari hujung pedang adalah tidak berasas,” katanya.
Beliau mengaku menghadapi cabaran getir selepas menganut agama suci itu tetapi tidak pernah menyesal malahan sangat berbangga menjadi seorang Islam.
“Menyesal? Walaupun saya memang menghadapi banyak kesukaran kerana menjadi seorang Islam lebih-lebih lagi di AS tetapi saya tidak pernah rasa kesal. Ini semua adalah cabaran kecil jika dibandingkan dengan dugaan yang diterima Nabi Muhammad.
“Islam adalah agama yang menuntut umatnya untuk bersatu dan hidup dengan aman. Ia bukan agama yang ganas seperti yang diwar-warkan Barat.
“Apa yang menarik saya menganuti Islam selain keindahannya adalah kebenaran yang suci. Dalam Islam, bercakap benar adalah sangat digalakkan dan kerana itulah saya sebolehnya mahu menunjukkan kebenaran mengenai apa yang terjadi di sebalik peristiwa 11 September,” katanya.
Rodriguez menganggap Allah memberikannya peluang kedua untuk terus hidup tanpa sebarang kecacatan.
“Saya bagaikan mati hidup semula apabila memikirkan betapa untungnya saya kerana masih dapat bernafas di dunia ini. Peristiwa 11 September 2001 bagaikan tarikh lahir saya yang baru.
“Ramai umat Islam di dunia ini terutamanya di AS menderita kerana dikenakan pelbagai syarat dan undang-undang ketat. AS menganggap sistem pentadbirannya adalah demokratik terbaik di dunia tetapi semua itu adalah penipuan besar apatah lagi dengan peraturan baru yang menghalang sebarang bantahan mengenai perang di Iraq, baru-baru ini,” katanya.
Profil:
Nama: William Rodriguez
Umur: 48 tahun
Asal: Puerto Rico
Zodiak: Virgo
Status: Berkahwin
Pencapaian: Anugerah Wira Kebangsaan dari Dewan Senat Puerto Rico
Jawatan: Pernah bekerja sebagai ahli silap mata sewaktu remaja
Menjadi penjaga bangunan WTC selama 20 tahun
Presiden The Hispanic Victims Group
Pengarah "911 United Services Group
Salah seorang ahli Suruhanjaya 9/11 Ahli Majlis Penasihat Keluarga untuk Pembangunan Luas Bandar Manhattan
Pekerjaan: Penceramah bebas.
No comments:
Post a Comment