Universiti perlu perkenalkan IPS Keamanan Islam
Oleh Hasliza Hassan
Bukan Muslim patut didedah mengenai ketegasan Islam menentang keganasan
ANCAMAN keganasan yang didakwa dilakukan oleh orang Islam sering kali dipaparkan pada muka depan akhbar tetapi apabila ketegasan Muslim menentang keganasan pula, ia jarang sekali menarik perhatian.
Pensyarah Institut Pendidikan dan Penyelidikan Imam Khomeini, Iran, Dr Muhammad Legenhausen, berkata begitu juga reaksi ganas Muslim terhadap serangan terhadap agama mereka, menjadi berita yang bernilai.
Katanya, amat malang protes atau tindak balas yang dilakukan secara aman sering diabaikan. Kesannya bukan saja menyebabkan salah faham mengenai Islam kepada dunia Barat, malah menimbulkan salah faham mengenai agama Islam di kalangan umatnya sendiri.
“Salah faham itu menjadi cabaran kepada dunia Islam dan cabaran itu disebabkan kurang pengetahuan mengenai Islam. Tindakan membetulkan salah faham itu tidak akan berjaya hanya dengan menekankan bahawa Islam adalah agama keamanan sebaliknya, masyarakat Islam dan bukan Islam perlu didedahkan dengan asas ajaran Islam.
“Seperti agama lain, Islam tidak menghalang keganasan atau penggunaan kekuatan secara mutlak, tetapi semua tindakan itu boleh dilakukan dengan syarat yang ketat. Namun, pelampau Islam beranggapan ia dibolehkan kerana tiada jalan penyelesaian lain.
“Menurut mereka hanya melalui keganasan akan mencapai apa yang dihajatkan dengan merujuk kepada peperangan yang dilalui Rasulullah SAW bersama sahabat untuk membolehkan mereka menentang menggunakan keganasan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membentangkan kertas kerja bertajuk Mekanisme dan Inisiatif Untuk Menghapuskan Ekstremisme, Keganasan, Kekerasan Jenayah dan Peperangan pada seminar Peranan Negara Islam Dalam Dunia Global di Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Justeru katanya, pendidikan mengenai Islam perlu menitikberatkan penggunaan kekerasan hanya dibenarkan dalam keadaan tertentu, kerana masih ada pilihan lain dalam menyelesaikan masalah selain menggunakan kekerasan.
Hakikatnya, kekerasan tidak akan menyelesaikan masalah, penggunaan senjata moden juga lebih memudaratkan, kerana menyebabkan golongan tidak berdosa turut menerima akibatnya dan kumpulan pelampau yang menganjurkan keganasan tidak mempunyai kuasa dalam bidang agama.
Dr Muhammad berkata, walaupun pelbagai usaha dilakukan banyak pihak, masih sukar untuk menangani masalah keganasan dan mendidik golongan muda supaya menentang serta menyebarkan keganasan.
Justeru, beliau mencadangkan universiti dan pusat pengajian di negara Islam memperkenalkan Pengajian Keamanan Islam (IPS) yang membabitkan pengajian mengenai punca, cara penyelesaian dan alternatif kepada keganasan berdasarkan sains tradisional Islam serta penyelidikan moden.
Katanya, pelajar IPS juga perlu didedahkan dan menguasai ilmu fiqh (undang-undang), hadis, tafsir al-Quran, sejarah Islam, prinsip Islam dan psikologi yang dikaitkan secara khusus kepada isu keganasan serta cara merawatnya.
“IPS juga perlu memasukkan undang-undang dunia, hubungan antarabangsa, sains politik, sosiologi, pendidikan konflik, sejarah ketenteraan dan ekonomi. Tujuannya untuk mengkaji punca serta cara mencegah keganasan oleh kumpulan, individu atau negara,” katanya.
Selain itu katanya, IPS boleh memasukkan pendekatan dalam bidang hak asasi Islam, pembangunan dan pendidikan alam sekitar, keselamatan serta kesedaran media dengan berpandukan al-Quran dan hadis.
Katanya, graduan IPS boleh bekerja sebagai duta, kakitangan kerajaan, penyelidik polisi dan penasihat kepada agensi kerajaan, profesional dalam bidang keamanan serta pendidik pada peringkat antarabangsa yang menggalakkan pembangunan dan keamanan.
Dr Muhammad berkata, negara Islam juga perlu mewujudkan Pertubuhan Keamanan Islam (IPO) bagi menamatkan keganasan yang sering dikaitkan dengan Islam dan boleh diletak serta diselaraskan melalui Pertubuhan Persidangan Islam (OIC).
Beliau berkata, selain menamatkan keganasan, IPO boleh dijadikan tempat untuk membina jaringan keamanan pada peringkat akar umbi serta berfungsi sebagai pendamai, memulihkan keadilan dan membina keamanan jangka panjang.
Katanya, IPO perlu bekerjasama dengan agensi kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tempatan dan antarabangsa serta kumpulan setempat dengan memberi tumpuan kepada peranan pemimpin agama dan pihak berkuasa untuk mempromosikan pembangunan keamanan Islam.
“IPO bukan pasukan pengaman tetapi lebih mendekati dan memantau kemajuan aktiviti keamanan seperti transformasi konflik, pemulihan konflik dengan memberikan kaunseling serta bantuan sokongan,” katanya.
Beliau berkata, bagi menghalang atau mengurangkan keganasan, sokongan daripada semua negara Islam diperlukan.
No comments:
Post a Comment