Tuesday, October 14, 2008



Barbarisme Barat-Eropah

"BARAT adalah penjahat terbesar dalam sejarah. Barat adalah suatu kebetulan. Kebudayaannya adalah suatu hal yang tidak wajar, kerana tidak mempunyai dimensi yang asli," ungkap Roger Garaudy, seorang pemikir besar Perancis, dalam bukunya Promesses De L'Islam (Janji-janji Islam).

Garaudy, seorang pengkritik keras terhadap kebudayaan Barat Eropah, pernah menyandang jawatan Setiausaha Agung Parti Komunis Perancis dan akhirnya memeluk Islam setelah sekian lama mengkaji hubungan kebudayaan Barat dan Islam serta kecewa dengan Barat Eropah yang menganggap Islam sebagai musuh yang berbahaya.

Garaudy dengan sifatnya sebagai seorang bangsa Barat Eropah Perancis telah menentang keras sikap membuta-tuli Barat Eropah terhadap Islam dan mengingatkan hutang budi Barat Eropah kepada Islam yang tidak putus membantu pengetahuan Barat dalam menyuburkan seni, sains, sastera dan falsafah.

Bahkan Garaudy berkesimpulan bahawa Timur lebih maju daripada Barat Eropah yang belum cukup beradab, menjajah dan memanipulasi hasil bumi serta menebal rasisnya.

Garaudy menyuarakan pandangannya itu pada awal tahun 1980-an dan kebenaran pandangannya tetap relevan sehingga kini. Ini terbukti apabila di koloni Jerman baru-baru ini telah diadakan Kongres Antarabangsa anti-Islam yang mendapat tentangan dari Malaysia.

Memang sejarah Barat Eropah adalah sejarah berperang. Mereka menawan bangsa-bangsa bukan Eropah dengan begitu kejam sekali untuk mendirikan negara-negara baru dan empayar-empayar mereka.

Kerakusan ini diteruskan atas nama menghapuskan terorisme global dan pemusnahan senjata nuklear. Ketika berlakunya serangan 11 September terhadap bangunan World Trade Center, New York, mereka menjadikan alasan terbaik bagi bangsa Anglo-Saxon Eropah untuk kembali ganas dan bengis serta menjustifikasikan alasan-alasan untuk melancarkan serangan terhadap orang-orang Islam sama ada yang bersalah atau tidak.

Mereka ingin menunjuk kepada dunia bahawa mereka kuat dan sesiapa yang mencabar mereka akan diserang oleh tentera habis-habisan. Ziauddin Sardar, Ashis Nandy dan Merryl Wyn Davies dalam buku
Barbaric Others: A Manifesto on Western Racism telah membahaskan dengan menarik bagaimana Barat Eropah melihat bangsa bukan Eropah sebagai biadab, hamba yang boleh dipergunakan sewenang-wenangnya.

Dengan berhujah bahawa sejak Christopher Columbus eksplorasi belayar untuk mencari dunia baru pada 1492, hasrat dan niat buruk Barat Eropah untuk mendominasi bangsa lain jelas terserlah.

Istilah Barbaric Other yang digunakan oleh Sardar sebenarnya menggambarkan kebalikkan bahawa Barat Eropah sebenarnya yang barbaric dan bukannya bangsa bukan Eropah yang diperanginya.

Namun, dengan perangkap psikologi, bangsa bukan Eropah telah berjaya diideologikan sebagai bangsa barbaric yang mundur dan perlu diberi tunjuk ajar untuk hidup dengan lebih bertamadun.

Menurut Sardar dan rakannya lagi, ideologi Barat Eropah sebagai suatu yang superior akhirnya menemukan tempat dalam hal-hal kebudayaan seperti perfileman dan puluhan hasil sastera sehingga segala-galanya harus dilihat dari kaca mata Barat Eropah yang menguasai.

Dalam karya-karya filem seperti Salvador arahan Oliver Stone dan Apocalypse Now arahan Francis Ford Coppola menggambarkan betapa operasi-operasi CIA berjaya menumpaskan penduduk tempatan yang gilakan kuasa dan akhirnya CIA berjaya mengembalikan keamanan dengan melantik 'orang-orang' yang disukainya.

Ini membenarkan apa yang dikatakan oleh sasterawan Inggeris, Joseph Conrad dalam Nostromo: A Tale of the Seaboard iaitu: "Kita orang Barat akan menentukan siapa penduduk asli yang baik atau yang jahat untuk mewakili kita. Kita ciptakan mereka, kita ajarkan mereka untuk berbicara dan berfikir, dan ketika mereka memberontak, mereka hanya menegaskan pandangan kita terhadap mereka sebagai anak-anak yang bodoh."

Bagi Sardar, perjumpaan Dunia Baru Columbus merupakan simbol kepada kerakusan dan kekejaman Barat Eropah yang tidak henti-henti menguasai bangsa-bangsa lain dan terus menerus mencari wilayah baru untuk ditaklukinya.

Hari ini, mereka terus menjumpainya dan menguasainya atas nama globalisasi, IMF, Cyberspace, terorisme, hak asasi manusia, hak-hak wanita dan bermacam-macam lagi.

Bangsa Barat Eropahlah yang sebenarnya barbaric. Dalam Kamus Inggeris-Melayu terbitan Utusan Publications, barbaric bererti biadab, ganas, kasar, kejam, bengis, dan manusia yang tidak bertamadun. Kesemua sifat ini terdapat dalam bangsa Barat Eropah yang kita kenali hari ini.

Namun untuk menghadapi kerakusan bangsa Barat Eropah yang barbaric ini tidaklah semudah yang disangka. Ini kerana mereka telah menjelma sebagai penentu agenda dalam segala hal sehingga kita sukar untuk lari daripada pergantungan terhadap mereka.

Lihatlah produk-produk sampah mereka seperti filem-filem Terminator dan Collateral Damage yang terus menguasai benak-benak kita; produk-produk makanan segera mereka terus menyelerakan kita sehingga pada saat-saat tertentu, kita sendiri menghadapi kesukaran untuk merumuskan jati diri kita sendiri. Itulah bangsa Barat Eropah yang barbaric yang cukup hebat dan licik.

Kita tetap tinggal sebagai bangsa Timur-Islam yang halus pekertinya tetapi hebat dimanipulasikan.


http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2008&dt=1014&pub=Kosmo&sec=Akademi&pg=ak_03.htm

Oleh SHAHAROM TM SULAIMAN
shaharomtm@yahoo.com


No comments: