Wednesday, November 29, 2006

UKM mercu tanda kualiti pendidikan negara

Oleh MOHD. ANAS ALI

UNIVERSITI Kebangsaan Malaysia (UKM) yang terletak di Bangi, Selangor mempunyai satu formula kepimpinan yang sangat prihatin dalam mewujud dan mengekalkan sistem nilai kualiti.

Dari satu kepimpinan ke satu kepimpinan yang lain, usaha ke arah peningkatan dan pengekalan kualiti diamalkan. Pemimpin di setiap peringkat di UKM begitu komited dan cekal dalam usaha untuk mencapai kecemerlangan. Kepemimpinan UKM juga berjaya mewujudkan suasana serta galakan kepada warga universiti tentang usaha peningkatan kualiti dan menjana persaingan yang sihat dengan meletakkan agenda kualiti sebagai salah satu daripada tiga agenda utama universiti iaitu penyelidikan, pengantarabangsaan, dan kualiti atau ringkasnya RIQ.

UKM telah melaksanakan proses jaminan kualiti di setiap peringkat yang dilihat berkait dalam usaha peningkatan kualiti, antaranya jaminan kualiti pensyarah, jaminan kualiti pelajar, jaminan kualiti pentadbiran dan jaminan kualiti kakitangan sokongan. Di setiap peringkat ini, dilaksanakan pelbagai tindakan dan program yang dapat menjamin kualiti dalam persembahan kerja serta penyampaian perkhidmatan di peringkat masing-masing. Ia seolah-olah melahirkan kualiti dan mutu di peringkat akar umbi sesebuah organisasi.

Dalam menjamin perancangan strategik dapat direalisasikan, UKM telah menggubal pelan tindakan jangka panjang iaitu Pelan Strategik 2000-2020. Hasil daripada semakan semula, UKM merangka Pelan Strategik UKM Perspektif 2006-2010, yang sejajar dengan perubahan semasa dan Rancangan Malaysia Kesembilan yang telah dirangka kerajaan. Pelan Strategik UKM ini adalah pelan tindakan yang akan memandu UKM dalam menghadapi perkembangan baru dan perubahan semasa. Keharmonian dalam perancangan strategik yang selari dengan misi dan visi universiti ini dilihat menjadi nadi kepada pencapaian dan peningkatan dalam kualiti pengurusan UKM.

Pelbagai mekanisme digunakan dalam mengukur pencapaian objektif kualiti. Instrumen soal selidik dan aduan pelanggan digunakan dalam sistem pengurusan kualiti ISO 9001:2000. Antara mekanisme yang utama diaplikasikan adalah seperti Sistem Aduan Dalaman Pelajar (SADP), Sistem Aduan Dalaman (SAD) dan Sistem Aduan Kerosakan (SAK). Selain itu, pelbagai petunjuk digunakan dalam menentukan tahap kepuasan hati pelanggan dan pelbagai kaedah digunakan untuk mengukur kepuasan hati pelanggan. Antaranya ialah melalui maklum balas seperti surat, e-mel dan lain-lain, kaji selidik tahap kepuasan, keratan akhbar, dialog, perjumpaan berkala bersama perwakilan pelajar serta laporan dari agensi-agensi luar. Kaedah yang telah diamalkan ini telah membantu UKM dalam menambah baik sistem pengurusan dan kualiti kerja di semua peringkat.

Sebagai sebuah universiti yang begitu prihatin terhadap semua pihak dalam pentadbirannya, semua pihak boleh mengakses kemudahan Internet dan Intranet yang dibangunkan oleh pihak universiti. Sistem yang dibangunkan ini membantu pengurusan universiti menyebarkan maklumat- maklumat serta agenda-agenda yang akan dibawa UKM dalam usaha melibatkan semua pihak dalam penjanaan idea. Daripada kakitangan sehingga ke pelajarnya, kemudahan ini membantu menghubungkan pihak atasan atau pengurusan tertinggi dalam perkongsian maklumat dan sekaligus dapat menilai kualiti dalam penggunaan sistem teknologi maklumat di UKM.

Agenda penyelidikan juga telah menjadi salah satu agenda utama UKM. Dalam melaksanakan agenda penyelidikan ini, UKM telah memutuskan supaya pengurusan penyelidikan mengamalkan sistem pengurusan berkualiti bertaraf dunia dan berlandaskan piawai yang diiktiraf di peringkat antarabangsa.

Pengiktirafan UKM sebagai antara 100 universiti terbaik di dunia dalam bidang penyelidikan juga memberikan gambaran bahawa segenap pihak telah berusaha keras dalam bidang yang kini dianggap penyumbang kepada kemajuan negara. Hasil usaha pihak-pihak terlibat dalam bidang penyelidikan UKM ini tidak terhenti di situ apabila UKM telah dikenal pasti sebagai salah sebuah universiti penyelidikan di negara ini sempena Rancangan Malaysia Kesembilan. Pencapaian ini bukanlah untuk mendabik dada tetapi inilah yang UKM peroleh setelah usaha demi usaha di pelbagai peringkat yang melibatkan banyak pihak dilakukan.

Jika dilihat dari aspek pengantarabangsaan yang juga merupakan agenda utama UKM, pihak pengurusan telah banyak menjalinkan kerjasama khususnya bidang akademik, dengan universiti-universiti di Asia dan seantero dunia. Melalui jalinan kerjasama yang wujud, jelas menggambarkan pengiktirafan dunia terhadap kualiti pendidikan UKM di persada antarabangsa. UKM juga banyak terlibat dengan badan-badan antarabangsa dengan menjadi ahli kepada badan tersebut. Antaranya, “The Global University Network for Innovation” (GUNI-AP), “International Association of University Presidents” (IAUP) dan lain-lain badan antarabangsa. Selain itu, dalam bidang akademik, kualiti pendidikan dapat dilihat melalui pelaksanaan program dwi-ijazah dalam bidang kejuruteraan dengan Universiti Duisburg Essen di Jerman dan pelbagai lagi program-program akademik yang melibatkan antarabangsa.

Jelasnya, UKM kini mendahului bidang pengajian tinggi di Malaysia dalam usaha menjadi universiti yang sentiasa terkehadapan melangkaui zamannya melalui penekanan aspek kualiti. UKM yang memartabatkan bahasa Melayu, mahukan anak didiknya diperlukan oleh segenap sektor sebagai modal insan yang mantap dan berkuailiti. Kini, UKM sudah pun mencapai impiannya mengeluarkan modal insan berkelulusan ph.D seramai 100 orang pada setiap tahun. Ciri-ciri kualiti yang kini dipamerkan oleh UKM memang selayaknya mendapat pengiktirafan negara. Anugerah Kualiti Perdana Menteri 2006 yang diterima oleh UKM menunjukkan bahawa organisasi ini telah memenuhi segala kriteria-kriteria yang telah ditetapkan melalui pengaplikasian amalan kerja berkualiti dalam pengurusan dan persembahan kerja.

Sebagai sebahagian warganya, sekalung ucapan tahniah dan terima kasih kerana membawa UKM ke arah kegemilangan yang berkualiti.

- PENULIS adalah mantan Presiden Persatuan Mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia

sesi 2005/2006.

UKM terima anugerah kualiti

Oleh Abdul Halim Yusoff



DAPAT PENGIKTIRAFAN: Abdullah menyampaikan Anugerah Kualiti
Perdana Menteri kepada Naib Canselor UKM, Prof
Datuk Dr Sharifah Hapsah Syed Hasan Shahabudin
pada majlis penyampaian AKSA 2006,
malam tadi.

Enam kategori iktiraf tahap kecemerlangan pengurusan organisasi kerajaan

KUALA LUMPUR: Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) malam tadi menerima Anugerah Kualiti Perdana Menteri Sektor Awam 2006, anugerah tertinggi yang mengiktiraf tahap kecemerlangan pengurusan kualiti organisasi kerajaan.

Anugerah itu disampaikan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi pada majlis penyampaian Anugerah Kualiti Sektor Awam (AKSA) 2006, di sini.

Turut hadir, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Sidek Hassan dan Ketua Pengarah Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (Mampu), Datuk Yaacob Hussin.

Sebanyak 15 anugerah dalam enam kategori disampaikan yang turut meliputi sektor swasta dan sektor sosioekonomi.

Petronas Ammonia Sdn Bhd menerima Anugerah Kualiti Perdana Menteri Sektor Swasta; Pertubuhan Peladang Negeri Pahang (Sektor Sosioekonomi) dan Penghargaan Khas Anugerah Kualiti Perdana Menteri Sektor Sosioekonomi kepada Persatuan Bagi Kanak-Kanak Terencat Akal Johor.

Bagi Anugerah Kualiti Sektor Awam, Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) menerima Anugerah Kualiti Ketua Setiausaha Negara; Universiti Teknologi Mara (UiTM), Perak menerima Anugerah Kualiti Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, manakala UiTM Sarawak menerima Anugerah Kualiti Ketua Pengarah Mampu.

Dalam ucapannya, Abdullah menyeru kakitangan awam supaya berusaha melengkapkan diri menjadi kakitangan terbaik dan sempurna supaya persepsi buruk yang sering dikaitkan dengan sistem penyampaian sektor awam dapat dihapuskan.

Perdana Menteri berkata, persepsi seperti itu perlu ditangani dengan berkesan meskipun ia sukar diubah dan hanya membabitkan segelintir pihak yang melakukannya.

Katanya, Malaysia mendapat pengiktirafan tertinggi masyarakat dunia dalam pelbagai bidang seperti usaha memerangi kemiskinan serta menduduki tangga ke-18 sebagai negara perdagangan dunia.

Friday, November 17, 2006


PMUKM garis 8 dasar utama

Oleh Norliza Abdullah

Kecemerlangan akademik, pembangunan sahsiah tunjang perjuangan


PERSATUAN Mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia (PMUKM) sesi 2006/2007 menggariskan lapan dasar utama sebagai tunjang perjuangannya sejajar dengan matlamat universiti menjana modal insan lebih berdaya saing.

Presidennya, Mazuwan Murad, berkata dasar berkenaan akan dilaksanakan secara bersepadu dalam usaha membawa pelajar ke landasan yang lebih baik dan cemerlang bersama aspirasi universiti itu dan negara.

Beliau berkata, dasar itu juga penting bagi PMUKM membudayakan kecemerlangan akademik dan pembangunan sahsiah dalam membentuk persekitaran harmoni dan muhibah.

Katanya, antara dasar berkenaan ialah memberi penekanan kepada pembangunan mahasiswa melalui kecemerlangan ilmu sesuai dengan kedudukannya sebagai pelapis kepemimpinan negara.

“Selain itu, merealisasikan hasrat UKM melalui pembangunan modal insan, menyemarakkan semangat toleransi dan integrasi kaum, memperjuangkan kebajikan pelajar dan hak mereka.

“Sebagai institusi akademik pastinya, Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) akan memberi tumpuan khusus kepada usaha memantapkan penguasaan akademik, keselamatan dan penempatan pelajar, pengangkutan, pemakanan dan kesihatan.

“Kami juga akan terus menerapkan konsep Islam Hadhari, mengekalkan kecemerlangan universiti di persada antarabangsa, prihatin terhadap kebajikan hal ehwal pelajar wanita serta peka kepada isu kerajaan,” katanya dalam ucapan dasar selepas Majlis Penyampaian Watikah MPP yang disempurnakan Naib Canselor UKM, Prof Datuk Dr Sharifah Hapsah Syed Hasan Sahabudin, di Bangi, malam kelmarin.

Hadir sama Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, Prof Datuk Dr Mohd Wahid Samsudin dan Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Akademik dan Antarabangsa, Prod Datuk Dr Sukiman Sarmani.

Sementara itu, Sharifah Hapsah berkata, MPP perlu menjadi contoh kepada warga kampus dengan memiliki jati diri kental dan bersikap terbuka bagi membantu pentadbir universiti mengekalkan kecemerlangan.

Sebagai pemimpin pelajar, katanya, mereka perlu memikirkan kepentingan golongan sasar dan memastikan segala pengurusan dijalankan lancar.

“Ini adalah ujian pertama sebagai pemimpin. Mereka bertanggungjawab memimpin pelajar sejajar misi UKM melahirkan graduan lebih bertanggungjawab dan mempunyai semangat daya saing tinggi,” katanya.

Sambil menyifatkan pelajar adalah pemilik kepentingan utama di universiti itu, beliau berkata, MPP pula adalah wakil mereka untuk berunding dengan pihak pentadbiran.

Katanya, UKM akan beralih kepada pendekatan berorentasikan pelajar yang bermakna pengurus akan memberi perhatian terhadap pengalaman pembelajaran mereka secara menyeluruh di kampus.

Sharifah Hapsah berkata, langkah itu perlu bagi melahirkan insan yang mempunyai pengetahuan dan kemahiran dalam bidang diikuti.

http://www.bharian.com.my/m/BHarian/Friday/Pendidikan/20061117090751/Article/

Thursday, November 16, 2006


TEMA
Mahasiswa Peneraju Aspirasi Universiti

VISI
Ke Arah Mempertabatkan Mahasiswa Kebangsaan di persada antarabangsa

MISI
Persatuan Mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia (PMUKM) bertekad untuk memantapkan agenda pembagunan mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia bagi melahirkan insan intelektual, berpesonaliti unggul dan bertaraf antarabangsa

DASAR

1. Pembangunan Mahasiswa Melalui Kecemerlangan Ilmu

2. Merealisasikan Aspirasi Universiti Melalui Pembangunan Modal Insan

3. Menyemarakkan Semangat Toleransi dan Integrasi Kaum

4. Memperjuangkan Kebajikan Mahasiswa dan hak-hak mahasiswa

5. Modenisasi Pemikiran Melalui Islam Hadhari

6. UKM Dipersada Antarabangsa

7. Keprihatinan Terhadap Kebajikan Hal-ehwal Siswi

8. Keprihatinan dan kepekaan Kepada Isu Kerajaan

Di akhir ucapan ini, saya menyeru rakan-rakan dalam barisan kepimpinan PMUKM sesi 2006/2007 untuk sama-sama menyatukan tenaga dan mencetus idea bagi memastikan kebajikan mahasiswa terbela dalam semua aspek. Saya juga menyarankan agar semua mahasiswa dapat menghayati peranan dan potensi yang ada pada diri kita dalam mencapai matlamat menjadi mahasiswa yang cemerlang dalam semua aspek dan diharap melalui pelaksanaan kelapan-lapan dasar yang dinyatakan tadi, matlamat ini akan menjadi kenyataan. Memetik hadis riwayat muslim “ Pemimpin pilihan diantara kamu semua ialah orang-orang yang kamu cintai (suka), mereka juga mencintai kamu. Kamu semua mendoakan mereka untuk kebaikan, begitu juga mereka mendoakan untuk kebaikan kamu”. Bung Karno dalam satu proklamasi pernah berkata, ' jika aku diberi sepuluh orang muda nescaya aku bisa menggoncangkan dunia namun, jika aku diberi seribu orang tua nescaya aku akan musnah '. Klausa yang cukup indah dan penuh dengan sulaman estetika dan dijambangi dengan retorik penegasan ini sudah cukup untuk menggambarkan betapa orang muda yakni mahasiswa diperlukan dalam pelbagai transformasi baru. Suara sinis Soekarno, mantan presiden Indonesia ini tidak harus dilihat sebagai satu kebencian atau untuk mengapikan golongan warga emas mahupun untuk mendabik dada golongan muda tetapi untuk memberikan satu definisi yang penuh dengan konotasi tentang betapa golongan muda sangat signifikan dalam usaha menggembleng tenaga bagi pembangunan sahsiah, negara, bangsa, agama, dan rohani masyarakat. Akhir kata, saya mewakili barisan kepimpinan PMUKM sesi 2006/2007 mengucapkan jutaan terima kasih kepada pihak pentadbiran universiti dan juga semua pihak di atas sokongan yang diberikan.

Sekian, terima kasih

Monday, November 06, 2006

Tokoh bahasa sokong UMNO Johor bantah ajar Matematik, Sains dalam BI

KUALA TERENGGANU 6 Nov. – Bekas Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Datuk A. Aziz Deraman mengucapkan syabas dan tahniah kepada Badan Perhubungan UMNO Johor yang menyuarakan bantahannya terhadap pengajaran Matematik dan Sains dalam bahasa Inggeris (BI) di sekolah-sekolah.

Beliau juga menggesa UMNO dan kerajaan memandang serius kenyataan tersebut kerana ia merupakan pandangan rakyat Malaysia sejak awal pengajaran tersebut diperkenalkan beberapa tahun lalu.

‘‘Sistem pendidikan kebangsaan asal yang mengunakan Bahasa Kebangsaan hendaklah dikekalkan,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini, hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor, Datuk Abdul Ghani Othman yang membantah pengajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris atas alasan dasar tersebut hanya menyebabkan bangsa Melayu kehilangan identiti dan jati diri.

Mengulas lanjut A. Aziz menegaskan Kementerian Pelajaran patut mengkaji kenyataan tersebut secara lebih serius tanpa sebarang prejudis.

Katanya, kajian menyeluruh patut dibuat untuk tempoh sekurang-sekurangnya dua tahun setelah penukaran bahasa Inggeris menggantikan bahasa Melayu dalam pengajaran Sains dan Matematik.

‘‘Kajian secara jujur hendaklah dibuat terhadap keberkesanannya terutama bagi sekolah sekolah di luar bandar atau sekolah kebangsaan pesisir bandar.

‘‘Pada pendapat saya isu bahasa pengantar sangat penting kerana melaluinya sesuatu bahasa pengantar ilmu diperolehi, bahasa Inggeris boleh menjejaskan perolehan ilmu kerana bahasa ibunda kanak-kanak sedari awal sejak usia dua tahun adalah dalam bahasa asal mereka,” katanya.

Norma

A. Aziz menambah aspek budaya seperti nilai dan kehidupan norma masyarakat Malaysia tidak mungkin dapat dijayakan melalui bahasa asing.

Menurut beliau lagi aspek ketiga yang seharusnya diberi perhatian ialah perkembangan tamadun berbahasa Melayu itu sendiri akan terbantut dari segi penulisan bahan ilmu, komunikasi antara kaum iaitu bahasa perpaduan.

Beliau turut khuatir masa depan bahasa Melayu dalam sistem pendidikan tinggi akan berubah dan ini mengakibatkan Malaysia tidak akan terbentuk dalam acuannya sendiri.

‘‘Pandangan UMNO Johor itu juga tentu dirasai sama oleh para sarjana, ilmuan dan budayawan Malaysia yang selama ini telah menyatakan bantahan pelaksanaannya empat tahun lalu,’’ katanya.

Dalam hal ini, beliau berharap Perhimpunan Agung UMNO yang bakal berlangsung minggu depan akan membincangkan perkara tersebut yang berkait rapat dengan isu pokok iaitu pencapaian pendidikan, penguasaan ekonomi, pembangunan kebudayaan dan kestabilan,’’ katanya.

-utusan 07/11/06

Perjuangan Bahasa, Budaya Dan Sastera Melayu Tidak Akan Pudar

KUALA LUMPUR, 7 Nov (Bernama) -- Perjuangan bagi memartabatkan bahasa, kesusasteraan dan budaya Melayu tidak pernah pudar dan akan terus bangkit untuk menjadi agenda utama dalam cabang kehidupan, kata Pengerusi Kongres Kepentingan Bahasa, Tengku Razaleigh Hamzah.

Beliau berkata apa juga yang akan diputuskan dalam kongres tersebut tidak sekadar catatan sejarah tetapi ia perlu disertakan dengan kesungguhan dalam memastikan kejayaan pelaksanaannya.

"Saya yakin orang Melayu ada peranan yang boleh dimainkan untuk mencapai matlamat, begitu juga kerajaan di bawah pimpinan orang Melayu mempunyai peranan bagi mencapai matlamat asal," katanya dalam ucapan perasmian Kongres Bahasa dan Persuratan Melayu Ke-7 di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Isnin malam.

Kongres anjuran DBP dengan kerjasama Gabungan Penulis Nasional Malaysia (Gapena) akan berlangsung selama tiga hari bermula hari Isnin yang mengandungi lima siri forum.

Tengku Razaleigh menegaskan keberanian untuk meletakkan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan perlu sejajar dengan persiapan seperti mengemaskini, menterjemah dan memajukan Bahasa Melayu sehingga ia boleh diterima pakai oleh semua orang.

Katanya Malaysia perlu mengambil contoh Indonesia dan Thailand yang boleh menyatukan rakyatnya yang berbilang kaum, suku dan dipisahkan dengan wilayah yang sangat besar melalui bahasa ibundanya.

"Tanpa menukar bahasa pengantar dalam sistem pendidikan mereka tetap mengatakan bahawa mereka tidak jauh ketinggalan berbanding dengan banyak negara lain seperti Afrika dan Asia yang tunduk kepada bahasa Inggeris atau bahasa bekas penjajah mereka," katanya.

Oleh itu katanya, kajian perlu dijalankan bagi menentukan kehebatan bahasa Inggeris sama ada kerana sifatnya atau kerana ilmunya, sekiranya kehebatan bahasa Inggeris terletak pada sifatnya maka kerajaan perlu menggunakan pelbagai kaedah untuk meningkatkan keupayaan penguasaan di kalangan rakyat.

"Bagaimanapun sekiranya ia hebat kerana ilmu itu penting, maka kita perlu mendalami hakikat bahawa sesuatu ilmu itu boleh ditimba melalui pelbagai bahasa," katanya.

Dalam hal ini, Tengku Razaleigh merujuk kepada negara Jepun dan Korea yang boleh menimba ilmu yang dicedok dari seluruh pelusuk dunia termasuk Perancis, Rusia dan Jerman yang diterjemahkan ke dalam bahasa ibunda masing-masing.

-- BERNAMA

Sunday, November 05, 2006

Pengajaran Matematik, Sains dalam BI dibantah

JOHOR BAHRU 5 Nov. – Badan Perhubungan UMNO Johor membantah pengajaran Matematik dan Sains dalam bahasa Inggeris di sekolah-sekolah kerana dasar tersebut hanya menyebabkan bangsa Melayu kehilangan identiti dan jati diri.

Pengerusnya, Datuk Abdul Ghani Othman berkata, pendirian itu tetap tidak berubah sejak pengumuman pertama pelaksanaan sistem tersebut kerana ia berhubung rapat dengan soal maruah dan martabat bangsa.

‘‘Pendekatan ini sebenarnya amat menyulitkan pelajar Melayu kerana ia adalah cara paling buruk untuk belajar bahasa Inggeris dan cara paling buruk juga untuk belajar Matematik dan Sains,” katanya.

Beliau yang juga Menteri Besar Johor berkata demikian ketika berucap di Konvensyen UMNO Johor 2006 di Persada Johor, di sini hari ini.

Jelas beliau, alasan pelaksanaan sistem tersebut hanya kerana penguasaan bahasa Inggeris yang lemah di kalangan orang Melayu adalah satu hujah yang lemah.

‘‘Kalau kita sanggup mengeluarkan belanja yang besar bagi mengubah kedua-dua mata pelajaran Matematik dan Sains ke bahasa Inggeris, sama ada buku teksnya, rujukannya, latihan gurunya, mengapa semua itu tidak dibelanjakan untuk peningkatan mata pelajaran bahasa Inggeris,” katanya.

Beliau berkata, jika pelajar menggunakan 38 peratus bahasa Inggeris dalam pembelajarannya di tingkatan tiga, jumlah tersebut akan meningkat hampir sekali ganda iaitu 64 peratus di tingkatan empat dan lima serta mencecah 80 peratus penggunaan di kalangan pelajar tingkatan enam dan matrikulasi.

‘‘Di peringkat universiti, hanya kursus sastera dan pengajian Islam di ajar dalam bahasa Melayu... lalu di mana yang mendorong anak Melayu untuk kekal dengan bahasa ibundanya,” katanya.

Menurut Abdul Ghani, lebih menyedihkan, usaha untuk memartabatkan bahasa Melayu akan terbantut kerana segala usaha mencipta istilah baru mengikut keperluan bahasa akan terhenti.

‘‘Sia-sialah segala kerja beratus-ratus pakar dalam bidang-bidang tertentu mencipta istilah yang sudah pun mencecah satu juta istilah dalam ratusan bidang ilmu termasuk yang terkini iaitu aeroangkasa.

Katanya lagi, barangkali dengan gembar-gembur bahawa syarikat swasta kini memerlukan pekerja yang boleh bertutur dalam bahasa Mandarin, bahasa Melayu hanya menjadi bahasa ketiga selepas bahasa Inggeris dan Mandarin.- utusan 06/11/2006

Saturday, November 04, 2006


Bahasa Melayu Bahasa Utama Dunia
(diolah daripada Dewan Masyarakat Januari 2006)

Fakta 1-Anggaran oleh David Crystal dalam The Cambridge Encyclopedia of Language
(1987) ada 3000 hingga 10,000 jumlah bahasa di dunia. Terdapat 6000 daripadanya masih digunakan sebagai bahasa pertuturan harian

Fakta 2-Daripada jumlah itu,hanya 20 bahasa sahaja bertaraf rasmi yang
penuturnya berjumlah lebih daripada 50 juta orang. Bahasa Melayu termasuk dalam
senarai 20 bahasa utama dunia ini.

Fakta 3-Jumlah penutur bahasa Melayu di pelbagai peringkat penguasaan di seluruh
dunia adalah lebih daripada 280 juta orang.

Fakta 4-Berdasarkan anggaran ini, bahasa Melayu diiktiraf sebagai bahasa ke5
terbesar di dunia selepas;
1.Bahasa Inggeris(1.4 bilion penutur)
2.Bahasa Cina(lebih 1 bilion penutur)
3.Bahasa Hindi(700 juta penutur)
4.Bahasa Sepanyol(300 juta penutur)
5.Bahasa Melayu(280 juta penutur)
Mendahului bahasa-bahasa penting lain seperti Perancis,
Jepun, Jerman, Korea dan Itali.

Fakta 5-Hanya 8 bahasa sahaja penyebarannya merentasi sempadan menjadi bahasa
rasmi ataupun salah satu bahasa rasmi di beberapa buah negara lain. Iaitu bahasa
Melayu, Inggeris, Perancis, Sepanyol, Arab, Rusia, Portugis dan cina.

Fakta 6-Daripada 8 bahasa hanya bahasa Melayu sahaja menjadi bahasa rasmi di
Malaysia, Indonesia, Brunei, Singapura dan diiktiraf sebagai bahasa kebangsaan
tunggal dalam perlembagaan
negara-negara itu.

Fakta 7-Empat kriteria ukuran bahasa itu bahasa utama dunia ataupun
tidak.1,jumlah penutur bahasa itu besar. 2,taraf bahasa itu sebagai bahasa rasmi
di beberapa buah negara ataupun di negara yang bukan tempat asal bahasa.3,status
atau pentingnya bahasa itu sebagai alat
perhubungan antarabangsa.4,setakat manakah majunyanegara yang menggunakan
bahasa itu sebagai bahasa rasmi.Bahasa Melayu memenuhi semua kriteria itu.

Fakta 8-HANYA Bahasa Melayu sahaja tidak tersebar merentasi sempadan negara
asalnya melalui PENJAJAHAN. Ia berkembang menjadi lingua-franca kerana kedudukan
geografiknya yang strategik di Selat Melaka. Bahasa Melayu dipilih sebagai
bahasa penyatuan di Indonesia sejak
1928 dan diisytihar sebagai bahasa rasmi pada 1945. Mengatasi bahasa Jawa yang
lebih ramai penuturnya.

Fakta 9-Di seluruh dunia, ada lebih kurang 129 pusat pengajian bahasa Melayu- di
Eropah, Amerika Syarikat, Cina, Jepun, Rusia, Korea, Australia, New Zealand dan
lain lain.

Fakta 10-Kekuatan bangsa Melayu terletak pada bahasa ini. Orang Melayu akan
lebih maju dan lebih kreatif akalnya apabila mereka berfikir dalam bahasa ini-
bahasa ibundanya-seperti bangsa lain yang maju kerana mereka berfikir,
mengarang, mencipta ilmu, sains dan teknologi dalam bahasa mereka sendiri.

dipetik daripada Kaca Di Jendela oleh Datuk Dr. Hassan Ahmad, Dewan Masyarakat
Januari 2006

p/s: kita akan lebih percaya kerana faktanya daripada orang asing. bukankan
begitu?