CABARAN graduan masa kini bukan seperti dulu. Persaingan hebat dunia kerjaya menjadikan graduan terpaksa berhempas pulas menarik perhatian majikan dengan kelebihan tertentu.Jika ada segulung ijazah atau diploma dengan keputusan sederhana, cabarannya tentu menjadi sekali ganda. Begitu juga jika kekurangan nilai tambah kemahiran tertentu.Namun, paling hebat tentulah graduan wanita yang dikatakan hanya bersandar pada akademik semata-mata hingga ramai yang menganggur.
Manakala graduan lelaki sebaliknya, tidak sukar memperoleh pekerjaan kerana boleh menyesuaikan diri.Persoalannya benarkah graduan wanita sukar mendapat kerja atau terlalu memilih pekerjaan yang hanya sesuai dengan bidang diambil? Dan benarkah graduan lelaki mudah memperoleh pekerjaan?Tiga mahasiswa Universiti Putra Malaysia (UPM) berkongsi pandangan.Muammar Gaddhafi Muhd Ali kurang bersetuju dengan anggapan graduan lelaki mudah memperoleh pekerjaan sebaliknya berpendapat kedua-duanya mempunyai peluang cerah asalkan ada kemahiran tertentu.Menurutnya, memang ada graduan menganggur namun kebanyakan mereka yang tidak mempunyai nilai kemahiran.“Cuba bayangkan, kalau semua graduan menunjukkan keputusan peperiksaan semata-mata, tentu majikan tidak tertarik. Namun, jika ada nilai tambah dan sanggup bekerja keras, tentu lain penerimaannya.“Mahasiswa hari ini perlu menukar mentaliti supaya jangan menumpukan pada akademik semata-mata. Walaupun keputusannya boleh tahan, tiada nilai tambah pun tidak berguna. Justeru, penting untuk mengimbanginya.“Kalau ada kelebihan tambahan, biarpun mungkin akademiknya sederhana, masih boleh dipertimbangkan. Pada pendapat saya, semua berpeluang, tidak kira jantina, yang penting berkebolehan,” katanya.Manakala rakannya, Mohd Fendi Ahmad Nazri mempunyai pandangan berbeza. Dia berpendapat majikan lebih menumpukan perhatian pada lelaki kerana mereka tidak banyak karenah dalam pekerjaan.“Saya bukanlah menidakkan hak graduan wanita tapi kebanyakan majikan lebih suka lelaki. Bayangkan, seorang perempuan terpaksa mengharungi kerjaya lasak seperti memanjat atau menyelia ladang. Bolehkah?“Pendapat saya, bagi mengelakkan pengangguran di kalangan wanita, biarlah pemilihan kursus sesuai dibuat sejak menerima tawaran. Jangan terlalu ghairah ingin memasuki universiti sedangkan terpaksa menganggur,” katanya.
Pada pendapat anda apakah kursus sesuai untuk wanita? Adakah wanita tidak lasak dan keupayaan rendah? Bukankah barisan wanita besi yang menerajui negara membuktikan golongan ini mempunyai semangat kental?“Bukan tidak boleh melakukannya, cuma agak terbatas. Dan saya juga tidak kata mahasiswa wanita tidak boleh melaksanakan tugasan seperti lelaki. Boleh...tapi terhad.“Lebih sesuai menceburi bidang bersifat feminin seperti guru, jururawat dan bahagian pentadbiran,” kata Mohd Fendi.
Bagaimana pula pendapat anda? Tidak rasa tercabarkah dengan kenyataan itu?“Saya lebih bersetuju dengan pendapat Muammar Gaddhafi kerana dalam menentukan peluang kerjaya, bukan gender keutamaannya sebaliknya nilai tambah mahasiswa itu untuk memajukan diri.“Lasak atau tidak, itu boleh didefinisikan sebagai umum, malah kebanyakan tidak kisah diberi tugas berat seperti lelaki. Individu itu perlu merebut peluang yang ada.“Saya berpegang pada prinsip, hendak seribu daya gagal seribu dalih. Stigma mengatakan wanita terhad dalam melakukan pekerjaan sudah lapuk,” kata Siti Zaharah Bujang.Anda bakal bergelar graduan dalam sains komputer. Dalam mencari kerjaya sesuai mungkin tiada masalah. Namun, jika terpaksa menganggur selepas ijazah itu ‘tidak laku’, tindakan apakah yang mungkin diambil?“Saya tidak mahu terus pesimis sebaliknya mencari alternatif lain. Negara ini boleh menjadi lubuk emas bagi sesiapa yang rajin. Dengan kelulusan sedia ada, saya boleh menumpukan usaha dengan menjadi usahawan.“Pengalaman? Itu boleh dicari, yang penting kita ada hasrat untuk menjayakan cita-cita itu. Tapi janganlah dilakukan sambil lewa. Dan graduan wanita juga boleh melakukannya,” katanya.Kebanyakan graduan wanita, apabila tidak memperoleh pekerjaan lebih suka menerima tawaran kerja sebagai jurujual atau juruwang.
Mereka mudah mengalah dan menyebabkan ramai graduan wanita menganggur. Komen anda?“Saya tidak nafikan mungkin segelintir ada yang mudah mengalah, namun sebelum melemparkan tanggapan negatif, selidik mengapa mereka berbuat demikian. Mungkin jemu menghadiri temu duga.“Kerjaya itu tidak hina, malah boleh menjadi platform mencari pengalaman. Daripada tidak melakukan apa-apa, lebih baik bekerja. Biarpun gajinya rendah.“Ia juga boleh mengurangkan kadar pengangguran. Bagi graduan perempuan, jika terpaksa bekerja begini, tidak usahlah malu tunjukkan kita boleh,” kata Siti Zaharah.- Oleh Ruhaiza Rusminruhaiza@hmetro.com.my